Ia dibuka pada harga RM0.335, mewakili premium 19.6 peratus berbanding harga terbitannya RM0.28 dengan jumlah pembukaan 11.7 juta saham - pencapaian besar yang menunjukkan potensi syarikat teknologi Malaysia untuk berkembang dan bersaing di pentas global.
Penyenaraian 3REN, yang juga salah satu syarikat pelaburan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) ini, sekali lagi menunjukkan keunggulan agensi tersebut mengenal pasti serta menyokong syarikat yang berpotensi tinggi dalam sektor teknologi, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan pembuatan maju serantau.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan, penglibatan mereka dalam kejayaan 3REN selaras dengan misi utama MTDC untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri berasaskan teknologi, khususnya dalam bidang automasi, Industri 4.0, dan solusi kilang pintar.
“MTDC merupakan rakan strategik kepada 3REN sejak tahun 2016 di mana pihak MTDC telah melabur sebanyak RM8.8 juta melalui Sophic Automation Sdn Bhd (anak Syarikat 3REN Berhad), berserta penukaran 8,800 Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus (RCPS) kepada 71,700 saham biasa baru-baru ini.
“Ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan syarikat pelaburan MTDC mempunyai sumber yang diperlukan untuk berkembang di peringkat serantau dan global,” katanya pada majlis pengumuman penyenaraian 3REN di Pasaran ACE Bursa Malaysia di Exchange Square, Bukit Kewangan di sini hari ini.
3REN telah memperoleh dana sebanyak RM30.8 juta melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang mana RM19.2 juta daripadanya akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, merangkumi pembukaan pusat penghantaran baharu, pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D), penubuhan pejabat baharu di Singapura, serta modal kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif 3REN Koh Dim Kuan berkata, MTDC telah memainkan peranan besar sepanjang perjalanan mereka, tidak hanya menyediakan dana dan sokongan tetapi juga dengan aktif menggalakkan mereka meneroka pasaran yang lebih luas.
“Kami telah meletakkan diri kami di tengah-tengah industri semikonduktor yang sedang berkembang pesat dibelakangi pemacu permintaan utama dari revolusi teknologi, kecerdasan buatan, 5G dan Internet Kebendaan (IoT).
“Pada masa sama, Asia Tenggara juga muncul sebagai titik panas untuk aktiviti pembuatan ekoran permintaan yang meningkat untuk aktiviti penyumberan luar yang menjadi pemangkin kuat kepada pemodenan dan transformasi fasiliti pembuatan menuju Industri 4.0 dan 5.0, menyediakan 3REN ruang untuk bertumbuh.
“Dengan peluang yang terbentang di hadapan, pelan strategik kami disusun untuk menangkap syer pasaran yang lebih tinggi dan kami teruja untuk fasa seterusnya perjalanan kami sebagai entiti yang disenarai," katanya.
Sebagai peneraju dalam penyelesaian automasi dan kejuruteraan, kehadiran 3REN di pasaran global seperti Singapura, Amerika Syarikat, dan China turut memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab inovasi teknologi.
Dengan sokongan MTDC, 3REN bukan sahaja menyumbang kepada transformasi industri tempatan tetapi juga mempamerkan kemampuan Malaysia dalam menghasilkan penyelesaian teknologi yang kompetitif, selaras matlamatnya untuk membangunkan ekonomi negara yang mampan.
“Kami berhasrat untuk terus menyokong 3REN dalam mencapai kedudukan yang lebih kukuh dalam industri semikonduktor yang kompetitif, yang kini dipacu oleh teknologi seperti AI, 5G dan IoT.
“Di samping itu, bimbingan kami serta akses kepada rangkaian industri di bawah ekosistem MTDC akan membantu 3REN menjalinkan kerjasama strategik, dan memanfaatkan peluang baharu,” ujar Mohammad Hazani.