Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap, dengan adanya kemudahan infrastruktur itu, ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur.
Jelas beliau, MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa, menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang dua juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya.
“MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.
“Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX).
“MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer ini mempunyai 36 buah stesen terdiri daripada 27 buah stesen bertingkat dan sembilan buah stesen bawah tanah. Jumlah keseluruhan bagi pembinaan jajaran ini adalah sebanyak RM30.53 bilion,” kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kg Batu, di sini hari ini.
Perdana Menteri menambah pihak MRT juga kini dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang agar akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sektor pengangkutan merupakan pemacu pertumbuhan negara dan penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti amat penting bagi mencapai aspirasi negara maju.
Negara maju, ujar beliau bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, malah turut memiliki perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan yang efisien bagi meningkatkan gaya hidup rakyatnya.
“Selaras dengan teras Dasar Pengangkutan Negara, sememangnya menjadi hasrat utama Kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang selamat, cekap, mampan dan boleh dipercayai, bagi Keluarga Malaysia.
“Penyediaan pengangkutan awam juga akan dipertingkatkan supaya Keluarga Malaysia menikmati akses lebih baik kepada perkhidmatan dan ketersambungan yang lancar seperti dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bermula hari ini bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.
BACA: Berita gembira! Tambang percuma MRT, LRT, selama sebulan
Tambang percuma itu merangkumi perkhidmatan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel serta bas RapidKL.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dibuka secara rasmi bermula 3 petang ini.
Sementara bagi Fasa Dua, ia kini berada pada tahap melebihi 98 peratus dan dijangka beroperasi pada Januari tahun depan.