Majlis Profesor Negara (MPN) bakal meneliti isu dana politik di negara ini dan akan menyediakan satu rumusan yang boleh membantu pihak kerajaan mengubalkan dasar-dasar yang telus dan sistematik.

Pengerusi MPN, Profesor Tan Sri Zakri Abdul Hamid berkata, ini kerana dana politik masih tidak diinstitusikan di negara ini berbanding dengan negara seperti Amerika Syarikat yang mempunyai peraturannya.

“Kita akan teliti isu dana politik yang masih tidak diinstitusikan di negara ini berbanding dengan negara seperti Amerika Syarikat yang mempunyai peraturannya.

“Jadi itu boleh dibincangkan, diperdebatkan dan harapan kita adalah untuk menyediakan satu rumusan yang boleh membantu pihak kerajaan menggubalkan dasar-dasar yang telus dan sistematik dalam hal ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya kemelut politik yang dialami oleh negara ketika ini perlu diselesaikan dalam arena politik oleh para pemimpin politik, mengikut kaedah terbaik dan konvensyen politik demokrasi berparlimen yang telah diamalkan di Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Oleh itu masyarakat Malaysia secara umumnya, dan golongan ilmuan khususnya perlu menumpukan perhatian dan menggunakan tenaga minda serta kepakaran masing-masing untuk membantu negara mengisi agenda pembangunan dan menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 tanpa perlu terjebak dalam kemelut politik.

“Rakyat Malaysia perlu bersabar menunggu hasil penyiasatan yang sedang dijalankan oleh pihak yang berwibawa yang telah diberikan mandat menjalankan penyiasatan,” katanya.

Isu pembiayaan dana politik hangat diperkatakan ketika ini susulan pendedahan derma politik bernilai RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.