NEW DELHI: Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan pekerja asing dari India bukan bertujuan menambah kemasukan bilangan pekerja negara itu ke Malaysia.

Sebaliknya, menurut Menteri Sumber Manusia Steven Sim, ia bagi mengemas kini dasar dan garis panduan berkaitan.

Beliau menjelaskan, MoU asal yang ditandatangani sebelum ini sudah luput 10 tahun dahulu dan pekerja dari India ketika ini memasuki Malaysia tanpa sebarang dasar atau garis panduan.

Justeru, beliau yakin dengan pemeteraian MoU itu, ia dapat mengatasi masalah ketidaktelusan dan eksploitasi. 

"'MoU baharu bukan bertujuan membawa masuk lebih banyak pekerja kerana had maksimum sudah ditetapkan, tetapi ia untuk memastikan proses pengambilan lebih teratur dan berpandukan undang-undang.

"Jadi, tahun lalu kita memulakan perbincangan dan mendapat kelulusan untuk MoU yang baharu dan tahun ini kita memeterai MoU baharu sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India.

"Selepas ini, garis panduan pengambilan pekerja dari India akan lebih telus, lebih adil dan lebih teratur selain memastikan tidak berlaku amalan buruk seperti eksploitasi pekerja asing, yang akhirnya hanya merugikan negara dan pekerja tempatan di Malaysia," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Sim berkata, selain sektor formal berkemahiran tinggi, sektor lain seperti perkhidmatan, perladangan dan pertanian dilihat berada di tahap kritikal dan memerlukan sekitar 85,000 pekerja.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, MoU itu adalah lebih menjurus kepada keperluan dalam negara dan tidak ada kaitan secara langsung dengan negara sumber iaitu India.

Sim adalah antara delegasi Malaysia yang mengiringi lawatan kerja tiga hari Anwar ke India yang berakhir pada Rabu.

Dalam lawatan itu, Malaysia dan India bertukar-tukar lapan MoU merangkumi pelbagai sektor termasuk pengambilan pekerja asing, perubatan tradisional ayurveda, teknologi digital, budaya, pelancongan dan pentadbiran awam.  

Selain itu, Kementerian Sumber Manusia turut menandatangani MoU kedua dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Kebangsaan di bawah Kementerian Pembangunan Kemahiran India, bagi mengeratkan hubungannya dengan TalentCorp.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo, memeterai MoU Kerjasama Dalam Sektor Teknologi Digital bersama Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar, bagi memantapkan hubungan antara agensi kerajaan kedua-dua negara terutama dalam aspek digital.

"India memang ke depan dalam bidang teknologi baru. Dan kerajaan India telah pun mengenal pasti aspek tertentu yang diperlukan untuk mengukuhkan infrastruktur, supaya teknologi baru ini dapat digunakan dengan meluas untuk memperkukuh semua industri.

"Dalam MOU tersebut ada dikatakan bahawa perlu untuk kita lihat aspek bagaimana kita boleh kerjasama supaya langkah-langkah yang diambil oleh India untuk memperkukuhkan dan memperluaskan kepenggunaan teknologi baharu itu juga boleh kita laksanakan di Malaysia," kata Gobind.