Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha itu seiring dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan kerajaan bagi menangani isu sosial serta ekonomi secara menyeluruh, antaranya menerusi lonjakan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
"Dalam memperkasakan bidang-bidang seperti kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan bahan termaju, peranan tenaga pengajar TVET dalam menjadikan landskap TVET negara yang lebih responsif, fleksibel dan inklusif adalah sangat penting.
"Ini demi memastikan modal insan yang dihasilkan dapat menyumbang kembali kepada pembangunan ekonomi negara secara holistik dan mampan, setanding negara maju lain," katanya dalam kenyataan sempena Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Tahun 2024 di sini, pada Sabtu.
Abdul Rahman berkata, susulan itu, tenaga pengajar TVET perlu sentiasa bersedia untuk beradaptasi dengan kemahiran pengajaran dan pembelajaran terkini terutamanya dalam mengadun dan menyepadukan teknologi pendigitalan dan AI supaya sektor latihan TVET negara tidak ketinggalan.
"Ini juga seiring dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) KSM 2021-2025 yang bertujuan memperkasakan tadbir urus kompetensi modal insan yang lebih efisien, melalui pengukuhan aplikasi dan infrastruktur digital," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berharap CIAST akan terus melahirkan lebih ramai tenaga pengajar TVET yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam mengukuhkan profesionalisme bidang itu selaras hasrat negara menyasarkan seramai 35 peratus tenaga kerja mahir negara menjelang tahun 2030.
Seramai 1,267 graduan dari CIAST dan Kampus Satelit CIAST (CSC) berjaya menamatkan latihan di peringkat diploma lanjutan, diploma dan sijil diraikan dalam majlis konvokesyen pada Sabtu. - BERNAMA