KOTA BHARU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyokong sekiranya Desa Gemalai di Lubok Jambu, Mulong di sini yang menawarkan tanaman padi organik dijadikan kawasan tarikan pelancong.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata kawasan yang dianggap unik itu bukan sekadar menawarkan tanaman padi organik berkeluasan sekitar enam hektar, bahkan turut mengetengahkan konsep percutian ala perkhemahan.

"Kawasan ini sangat unik, malah jarang untuk kita menemui tanaman padi yang ditanam tanpa baja dan racun. Malah, tinjauan saya hari ini terhadap hasil tanaman itu juga memuaskan kerana mampu meraih hasil sebanyak 10 tan daripada satu hektar yang menyerupai seperti tanaman padi menggunakan baja.

"MOTAC menyokong sekiranya kawasan ini diiktiraf menjadi satu kawasan pelancongan memandangkan ia juga menawarkan penginapan di rumah tradisional di tengah sawah, namun ia (pengiktirafan) perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu termasuk kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri lawatan produk pelancongan Desa Gemalai Padi Alami di Lubok Jambu, Mulong di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah MOTAC Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Kraftangan Kelantan Nariman Yusoff.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata pihaknya akan mengadakan lebih banyak promosi dan pemasaran produk pelancongan di negara ini seiring dengan usaha negara jiran iaitu Thailand yang dilihat lebih agresif dalam memperkasakan sektor pelancongan mereka.

"Sebagai contoh, di Desa Gemalai pada hari ini yang dilihat mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai tempat tarikan pelancong, kita akan beri promosi dan sokongan secara berterusan, bahkan beberapa geran boleh diberikan kepada pengusaha berkaitan program kesenian dan kebudayaan," katanya.

Sementara itu, pemilik Desa Gemalai Mohd Yusri Muhammad Nor berkata dia mula mengusahakan tanaman padi organik itu pada Ogos tahun lepas dan sehingga kini ia telah memasuki musim ketiga dengan setiap musim akan mengambil masa sekitar 110 hari.

Beliau menyatakan tanaman padi tanpa menggunakan kaedah pembajaan dan racun kimia itu mampu menghasilkan padi berkualiti, menjimatkan sumber, termasuk kos selain tidak menjejaskan alam sekitar.

"Ketika ini saya mempunyai kira-kira lima pekerja untuk menguruskan tanaman dan setiap sekilogram beras dihasilkan dijual pada harga RM10. Alhamdulillah, setakat ini hasil yang diraih amat memuaskan, malah saya menyambut baik sokongan MOTAC sekiranya kawasan ini dijadikan sebagai tempat pelancongan," katanya.

-- BERNAMA