Beliau berkata hal ini kerana isu integriti merupakan satu cabaran besar yang dihadapi kementerian itu pada masa ini.
"Kalau melibatkan isu integriti, pihak MOT sentiasa bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), contohnya baru-baru ini untuk dedahkan sindiket rasuah dalam Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
"Kalau ada isu-isu seperti ini yang memang kita tahu ia perlu dicegah, maklumat seperti ini akan terus kita pantau dan memang JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) ada unit risikan mereka dan kita (MOT) sentiasa adakan risikan dan seterusnya akan bekerjasama dengan pihak SPRM," katanya.
Loke berkata JPJ telah diberi mandat untuk mempergiat usaha mengenal pasti isu integriti melibatkan pegawai penguat kuasa yang menyalahi peraturan dan undang-undang.
Beliau berkata cabaran yang dihadapi itu menyebabkan kementeriannya perlu memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha memperketat peguatkuasaan peraturan kenderaan di negara ini.
Hal itu katanya termasuk penggunaan Sistem High Speed-Weight in Motion (HS-WIM) untuk memantau muatan kenderaan berat secara automatik yang dijangka mula beroperasi suku ketiga tahun ini.
"Pihak sindiket ini cuba mencari ruang bagaimana untuk elak daripada unsur penguatkuasaan kita...sebab itu penggunaan teknologi atau AI, penting kerana itu membolehkan kita memperketat lagi unsur-unsur penguatkuasaan kita," katanya.
Loke berkata melalui penggunaan HS-WIM, kenderaan berat tidak lagi perlu dibawa ke pusat penimbang kerana teknologi yang dilengkapi dengan alat sensor itu dapat mengesan sama ada sesuatu kenderaan itu melebihi muatan atau tidak apabila melalui kawasan tertentu yang dipasang dengan kemudahan berkenaan.
Justeru beliau menggalakkan lebih banyak syarikat pengangkutan bekerjasama dengan universiti awam untuk menyelidik dan mencari kaedah penyelesaian lebih baik terhadap permasalahan yang dihadapi oleh industri pada masa kini.
"Ini satu kolaborasi strategik dengan pihak swasta boleh mendedahkan pelajar kepada industri secara praktikal dan sebenar, apa masalah dan kekangan operasi yang mereka hadapi dan (pada masa sama) pelajar di fakulti ini dapat aplikasi pengetahuan dan kemampuan mereka untuk selesaikan masalah-masalah industri.
"Dengan menggunakan AI dan sains komputer ini, lebih banyak data akan dapat disepadukan dan dianalisis terutama sekarang ini kita amat fokus kepada isu keselamatan, iaitu sistem AI ini membantu menjadikan operasi di pelabuhan lebih berkesan umpamanya untuk mengira bahan dan jumlah kuantiti sesuatu barangan yang dipunggah dalam pelabuhan," katanya.
-- BERNAMA