KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan dasar pengurusan risiko bencana negara sebagai langkah persediaan menghadapi fasa peralihan monsun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dasar yang sedang digubal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam memastikan negara lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi bencana terutamanya dalam konteks perubahan iklim serta cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata dasar itu juga bertujuan mengurangkan risiko bencana dengan mengarusperdanakan konsep Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dalam setiap sektor pembangunan negara.

"DRR bukan sahaja melibatkan penyediaan infrastruktur, tetapi juga peningkatan kesedaran, pencegahan dan kerjasama antara kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan), sektor swasta serta masyarakat.

"Saya percaya, kejayaan dasar ini memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak dan dengan komitmen bersama, kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat dan bersedia dalam menghadapi cabaran bencana pada masa hadapan, insya-Allah," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.




Malaysia kini memasuki permulaan fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan hingga awal November ini, setelah Monsun Barat Daya yang bermula 17 Mei lepas, berakhir.

Ahmad Zahid berkata pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional juga akan diadakan pada 3 Okt ini di Kota Tinggi, Johor.

"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan persediaan rakyat dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana banjir dan ribut petir yang semakin kerap berlaku," katanya.

-- BERNAMA