Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, stok beras tempatan sehingga 3 Oktober 2023 adalah sebanyak 820,482 tan metrik.
Menurutnya, jumlah itu dijangka mampu menampung keperluan pasaran bagi tempoh empat hingga lima bulan.
“Berkenaan status semasa kedudukan stok beras negara, jumlah stok bekalan beras sehingga 3 Oktober 2023 adalah sebanyak 820,482 tan metrik.
“Ia terdiri daripada 250,000 tan metrik ‘stockpile’ kerajaan dan 570,482 tan metrik stok dagangan.
“Jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada semasa sesi penerangan berkenaan isu bekalan beras putih tempatan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambah beliau, sebanyak 708,978 kampit Beras Putih Tempatan (BPT) 10 kilogram (kg) telah diedarkan di seluruh Semenanjung.
Jelasnya, pengedaran itu melalui rantaian peruncit seperti pasaraya, rantaian premis serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Dalam pada itu, Mohamad berkata kenaikan harga beras import secara mendadak di dunia dan larangan eksport oleh India antara faktor pelaksanaan penyelarasan harga jualan Beras Putih Import (BPI).
Jelas beliau, tanpa penyelarasan, Padiberas nasional Berhad (Bernas) dijangka mengalami kerugian pada hujung tahun.
"Bernas juga dijangka akan hilang kemampuan untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada kerajaan.
"Walau bagaimanapun, harga jualan BPI akan diselaraskan oleh Bernas dari semasa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras global (harga freight on board - FOB) dan kadar nilai tukaran mata wang," tambah beliau.
Bernas melaksanakan pelarasan harga jualan BPI daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa pada 1 September yang lalu.
Inisiatif tersebut sejajar dengan harga terkini BPI di pasaran antarabangsa.