KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata ia sedang menyiasat dakwaan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan dialihkan dari Singapura ke Malaysia.

"Kami akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja kami mendapat butiran terperinci mengenainya," kata kementerian itu hari ini menjawab pertanyaan media Malaysia mengenai dakwaan tersebut.

Pada Isnin, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam dilaporkan berkata pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di negara itu mungkin mengandungi cip AI Nvidia, yang kemudiannya dipindahkan ke Malaysia.

"Persoalannya ialah sama ada Malaysia adalah destinasi terakhir, atau, dari Malaysia, ia dihantar ke tempat lain, yang kita masih tidak pasti pada tahap ini.

"Tetapi kami berpandangan mungkin terdapat representasi palsu mengenai destinasi akhir pelayan itu," katanya.

Menurut laporan berita Singapura, cip itu dibenamkan dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dipindahkan ke Malaysia.

-- BERNAMA