KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangka kerjasama antara Green EV Charge Sdn Bhd (GEV) dan PLUS Malaysia Bhd akan memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana bagi rantaian bekalan domestik serta rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri seperti elektrik dan elektronik serta automotif.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerjasama bagi hab pengecasan pantas arus terus (DC) hiperkuasa chargEV yang pertama di Malaysia itu turut menyokong strategi Dasar Automotif Nasional (NAP) untuk memperkukuh rantaian nilai industri kenderaan elektrik (EV).

"NAP di negara ini tertumpu untuk membangunkan seluruh ekosistem bagi Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) termasuk kenderaan cekap tenaga (EEV) dan rangkaian pengecasan yang diperlukan di seluruh negara.

"Selain membantu mencapai sasaran negara untuk memiliki 10,000 titik pengecasan menjelang 2025, langkah ini juga menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon pada 2050," katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara GEV dan PLUS untuk bersama-sama membangunkan hab pengecasan pantas DC hiperkuasa chargEV yang pertama di sepanjang lebuhraya PLUS di sini hari ini.

GEV adalah usaha sama antara Yinson GreenTech (YGT) dan GreenTech Malaysia Alliances Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh di bawah Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia iaitu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Usaha sama ini berperanan untuk melaksanakan pengkomersialan, operasi dan penyelenggaraan infrastruktur pengecasan di Malaysia melalui chargEV.

Hab pengecasan pantas ini akan turut melibatkan runcit mobiliti termasuk outlet makanan dan minuman serta kemudahan-kemudahan lain bersama-sama pelbagai pengecas EV pantas sebagai pengenalan kepada konsep baharu pengecasan EV baharu untuk rakyat Malaysia.

YGT telah menaik taraf sebuah titik pengecasan EV arus ulang-alik (AC) kepada pengecas pantas arus terus (DCFC) di Restoran Jejantas Ayer Keroh (Arah Selatan).

Menurut YGT kerjasama itu akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dan akan memaksimumkan faedah bersama, meluaskan dan meningkatkan produk dan perkhidmatan serta inovasi strategik.

"MoU itu akan mewujudkan hubungan kerja yang kukuh antara YGT dan PLUS serta menyediakan mekanisme yang berkesan untuk pelaksanaan projek itu bersama-sama. Usaha gabungan itu menyokong negara dalam menyediakan infrastruktur EV yang sejajar dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.

"Kedua-dua pihak juga akan bekerja secara kolektif untuk membangunkan idea baharu yang akan memenuhi pertumbuhan pasaran EV seperti hab pengecasan pantas pertama di Malaysia dengan teknologi pengimbangan beban dinamik atau penyelesaian pengecasan DC tahap 3 yang membolehkan kuasa pengecasan optimum dan cekap di stesen pengecasan. Ini memastikan pengalaman pengecasan yang lebih pantas dan boleh dipercayai untuk pengguna EV," katanya.

Pengerusi PLUS Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata inisiatif kerjasama ini akan menggalakkan amalan mobiliti rendah karbon dalam kalangan rakyat Malaysia yang dapat mempercepat penggunaan EV negara dan menjadi pemangkin ke arah mencapai aspirasi neutral karbon 2050 oleh kerajaan.

"Sebagai tulang belakang kepada infrastruktur lebuh raya negara, PLUS memainkan peranan penting dalam membentuk dan menyumbang kepada pembangunan mampan negara.

"PLUS bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk membangunkan pelan hala tuju stesen pengecasan EV, yang bertujuan mencapai 100 titik caj DCFC menjelang 2025. Sehingga 2022, sebanyak 20 pengecas telah diaktifkan. Tahun ini sahaja, terdapat 20 lagi titik caj disediakan di sepanjang lebuh raya PLUS," katanya.

-- BERNAMA