BUMI Malaysia berdasarkan lokaliti geografi sebenarnya adalah sebuah negara yang amat bertuah. Kita terhindar (atau secara minimum) kepada bencana alam utama seperti gempa bumi, kemarau dan taufan. Tanah bertuah ini juga dikurniakan tanah yang melata subur serta sumber alam dan mineral yang terhampar di serata ceruk.

Perlombongan, Tamadun dan Kehidupan

Dalam sejarah ketamadunan, para sarjana berpendapat bidang perlombongan (dan pengkuarian) merupakan industri kedua tertua dalam tamadun manusia selepas pertanian dan penternakan. Ironinya, perlombongan masih kekal wujud hingga hari ini atas faktor pentingnya sehingga melangkui era Revolusi Perindustrian 4.0 dan selepasnya. Secara mudahnya, tanpa mineral, ketamadunan manusia hampir pasti terkesan.

Tanpa bahan bakar fosil (petroleum, gas dan arang batu) sebahagian besar aktiviti pergerakan, pengangkutan serta penjanaan tenaga elektrik yang menyokong operasi perindustrian dan kehidupan manusia akan tergendala. Tanpa agregat batuan, tiada akses jalanraya yang menghubungkan daratan dengan pantas, selesa dan selamat.

Tanpa agregat batuan juga, tiada mahligai kediaman yang tersergam indah mahu pun bangunan pencakar langit yang didambakan seni binaannya. Malahan, semua alatan teknologi dan kemewahan hari ini mungkin tidak wujud tanpa bahan mentah yang dibekalkan oleh industri perlombongan dan pengkuarian.

Mineral dan Sejarah Malaysia

Kisah seekor gajah milik Long Jaafar bernama Si Larut yang hilang dan kemudian ditemui bersama palitan lumpur dan bijih timah di kaki gajah tersebut adalah catatan yang menarik dikaitkan dengan aktiviti perlombongan di Malaysia.

Peristiwa ini dikisahkan berlaku sekitar tahun 1848 yang kemudiannya membentuk sebahagian besar bandar-bandar di sebelah utara negeri Perak seperti Larut, Kamunting, Taiping dan Bukit Gantang. Asal usul nama daerah Larut turut dikaitkan bersempena nama gajah tersebut.

Namun catatan awal sejarah industri mineral di tanah air sebenarnya bermula lebih awal lagi dari kisah sang gajah tersebut. Berdasarkan rekod, aktiviti perlombongan dan perdagangan emas dari negeri Kelantan dan Pahang telah dinyatakan dalam rekod lama China sejak abad ke-13 lagi.

Malahan berdasarkan rekod penemuan bekas-bekas lombong dan peralatan yang digunakan, terdapat kemungkinan aktiviti ini telah berlaku lebih awal iaitu sejak abad ke-6 atau 7 lagi. Tanah Melayu juga pernah digelar Suvarnabhumi (bumi emas) oleh pedagang-pedagang dari India.

Gelaran Golden Chersonese (Semenanjung Emas) turut dinyatakan di dalam lakaran peta oleh ahli geografi Yunani bernama Ptolemy pada akhir abad ke-13.

Kegemilangan sejarah kesultanan Melayu di kepulauan Nusantara ini sebahagian besarnya turut terbentuk hasil daripada aktiviti perlombongan. Kisah kedatangan pedagang-pedangan dari China, India, Portugis, Belanda, British dan penaklukan Jepun sedikit sebanyak boleh dihubungkait dengan kemakmuran sumber mineral negara.

Perlombongan masih kekal wujud hingga hari ini atas faktor pentingnya sehingga melangkui era revolusi perindustrian 4.0

Manusia dan Mineral

Manusia juga tidak terkecuali daripada mineral. Berdasarkan kajian, setiap manusia menggunakan hampir 1,450,000 kg (atau 1,450 tan) mineral sepanjang hayat mereka. Mineral-mineral ini termasuklah bahan api fosil (petroleum, gas, arang batu), agregat (batuan, pasir silika, batuan fosfat, simen, seramik, lempung dan tanah liat), logam (besi, tembaga, alumium, emas, plumbum, zink dan sebagainya), garam-garam dan pelbagai mineral yang lain.

Saban pagi kita memulakan hari dengan menggosok gigi menggunakan mineral-mineral berasaskan florida dan bahan lelas (abrasive) seperti silika, alumina, kalsium fosfat atau kalsium karbonat yang dibekalkan daripada aktiviti pengkuarian. Usai memakai pakaian dan aksesori barang kemas (bagi wanita) yang berasas daripada lombong tembaga, perak atau emas, kita bersiap pula untuk bersarapan pagi.

Sambil duduk menonton televisyen pintar skrin rata, jari-jemari sibuk melayari telefon pintar yang mana komponen-komponen semikonduktor ini berasal daripada logam-logam unsur nadir bumi atau pun Rare Earth Element (REE). Juadah sarapan pagi yang enak pula terhidang di atas pinggan mangkuk yang diperbuat daripada pinggan kaca atau seramik.

Menuju ke tempat kerja, sebahagian besar kita memandu kereta dengan sebahagian enjin dan badan logam berasal dari lombong dan petrol yang dicarigali di tengah lautan. Kedinginan dan kenyamanan udara di pejabat pula terhasil daripada janaan elektrik sama ada daripada bahan api fosil mahupun bahan api nuklear (di negara-negara yang menggunakan nuklear).

Malahan stesen janakuasa hidroelektrik juga dibina daripada agregat kuari dan logam. Nikmat mineral-mineral yang pelbagai ini terus menerus digunakan selesai bekerja dan ketika bersantai di rumah sebelum kita merebahkan badan untuk tidur dan meneruskan rutin kehidupan esok hari.

Senario di atas merupakan sebahagian kecil contoh penggunaan mineral hasil daripada aktiviti perlombongan dan pengkuarian. Maka benarlah kalam Allah SWT yang diulangsebut sebanyak 31 kali di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?” (ar-Rahman:13)

Mineral dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs)

Industri mineral secara umumnya terbahagi kepada empat kategori utama. Kategori pertama adalah mineral logam seperti besi, zink, tembaga dan sebagainya. Kategori seterusnya adalah mineral industri seperti kaolin dan lempung. Kategori ketiga melibatkan mineral pembinaan seperti agregat, pasir dan batu manakala mineral tenaga pula terdiri daripada arang batu, minyak mentah dan unsur nuklear dan radioaktif.

Keempat-empat kategori mineral di atas berkongsi isu yang sama iaitu kelestarian. Walaupun secara teorinya, kategori mineral logam, industri dan pembinaan boleh dikitar semula namun kategori mineral tenaga mempunyai cabaran khusus yang lain iaitu tidak boleh diperbaharui apabila telah habis diguna. Peri penting industri berasaskan mineral boleh dikaitkan dengan 12 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDGs)  seperti yang ditetapkan dalam Resolusi 70/1 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.

Hala Tuju Industri Mineral Masa Hadapan

Industri mineral di Malaysia secara relatifnya masih berada dalam fasa awal atau pemprosesan mentah mineral peringkat asas, namun hal ini berbeza bagi kebanyakan negara berasaskan industri pembuatan teknologi baharu dan hijau.

Perlumbaan mendapatkan bekalan sumber mineral kini tidak terhad kepada aktiviti perlombongan subpermukaan dan bawah tanah tetapi turut melangkaui operasi laut dalam. Aktiviti penerokaan sub-benua pula mula mendapat perhatian terutama di pelantar-pelantar benua yang dahulunya sukar diakses dan didiami seperti kawasan tundra dan berais.

Terkini negara-negara besar seperti China, India dan Amerika Syarikat sedang menyiapkan program perlombongan angkasa lepas masing-masing dengan sasaran perlombongan di bulan diikuti penerokaan planet serta asteroid-asteroid yang berpotensi. Dianggarkan tempoh 220 tahun diperlukan untuk koloni perlombongan melombong satu peratus daripada komposisi permukaan bulan.

Alam Sekitar atau Kemakmuran?

Hakikatnya, aktiviti perlombongan dan pengkuarian tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan. Terdapat dua pandangan utama berkaitan isu ini. Pertama golongan yang ingin menjadikan industri mineral sebagai limpahan kemakmuran ekonomi (khususnya pihak pembuat dasar dan pelombong) dan kedua, golongan yang menentang perubahan alam hasil daripada aktiviti mineral (khususnya pencinta alam dan orang awam).

Menelusuri isu ini, jalan tengah terbaik adalah menguruskan sumber mineral negara secara mampan dan lestari dan pada masa sama meminimumkan impak terhadap alam sekitar.

Meminjam kata-kata pujangga yang berbunyi: “Dunia dan sumber alam hari ini bukanlah hak kita tetapi dipinjamkan oleh generasi akan datang kepada umat manusia hari ini” maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak mentransformasikan industri berasaskan mineral untuk kelestarian hari esok.

Maka benarlah bahawa aktiviti berasaskan mineral sama ada di daratan, bawah tanah, lautan mahupun angkasa lepas merupakan salah satu pemangkin utama kepada kemajuan teknologi dan tidak hanya terhad kepada membekalkan bahan mentah semata-mata.



* Ikuti siri kedua dan ketiga artikel ini pada 10 dan 11 Januari 2020. 

** Prof Madya Dr Mohd Hazizan Mohd Hashim ialah pensyarah kanan dalam bidang peletupan komersial, pengkuarian, perlombongan dan alam sekitar di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia.

*** Penulisan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi atau pengetahuan bidang kerjaya penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.