AI GENERATIF Midjourney menamatkan ciri janaan imej secara percuma tahun lalu bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Langkah drastik diambil selepas imej dijana Midjournery seperti Paus Francis memakai baju moden dan Donald Trump dipenjara tular di media sosial.

Minggu ini Midjourney versi web dilancarkan dan bagi menggalakkan pelanggan baharu ia kini boleh digunakan secara percuma.

Sepanjang tempoh demo percuma ini, Midjourney boleh menjana sehingga 25 imej sahaja sebelum mereka perlu melanggan untuk meneruskan akses.

Demo diberikan seminggu selepas AI generatif Grok oleh xAI dan Pixel Studio pada peranti Pixel mula ditawarkan kepada orang ramai.

Pasaran perkhidmatan AI generatif kini semakin sengit membuatkan pembangun perlu memberikan tempoh ujian bagi menarik pelanggan.

Berdasarkan pengalaman peribadi kami, Midjourney menjana imej yang paling realistik dengan menyokong teks yang tidak nampak pincang.

Ia walau bagaimanapun adalah perlahan jika dibandingkan dengan Grok dan Pixel Studio kerana mempunyai jumlah pengguna yang lebih tinggi. -Amanz