Kerajaan harus mempertimbangkan pembinaan sebuah memorial MH370 sebagai tanda ingatan bagi mengenang tragedi kehilangan pesawat malang itu pada 8 Mac tahun lalu.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, walaupun ia merupakan sejarah hitam negara, pembinaan memorial berkenaan dilihat sebagai tanda mengenang kisah sedih yang pernah berlaku di negara ini.

"Bagi saya, memang dari segi sejarahnya ia detik hitam negara dan tidak dinafikan sangat sedih jika dikenang.

"Namun, sebagai tanda ingatan, elok dibuat sebuah memorial di lokasi yang sesuai seperti di Putrajaya.

"Di sana mungkin ada ukiran nama-nama penumpang dan krew MH370 yang telah hilang. Ia tanda ingatan selain menjadikan semua orang mengenang kembali mereka yang tiada.

"Kita tidak mahu melupakan mereka buat selama-lamanya," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.



Memorial Tanjung Kupang yang menjadi tugu peringatan tragedi MH635 yang berlaku pada 1977. -Gambar fail


Dr Ramlah diminta mengulas keperluan mengadakan sebuah memorial seperti di Tanjung Kupang, Johor yang menjadi batu tanda kisah hitam penerbangan negara pada Disember 1977.

Nahas pesawat MH635 tersebut telah mengorbankan 100 nyawa dan merupakan tragedi kemalangan udara pertama melibatkan syarikat penerbangan MAS.

Jelas Dr Ramlah yang juga seorang pakar sejarah, selain mengenang titik hitam penerbangan negara, pembinaan memorial berkenaan dapat menunjukkan sikap perikemanusiaan negara di mata dunia.

"Kita tunjuk kepada dunia simbol kemanusiaan, rasa simpati dan tidak pernah melupakan mereka yang hilang di dalam tragedi berkenaan.

"Dari satu segi, sanak saudara penumpang MH370 dari China atau negara-negara lain dapat hadir dan memberi penghormatan di lokasi berkenaan.

"Mereka boleh meletakkan bunga sebagai tanda penghormatan selain menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada yang beragama Islam.

Beliau dalam pada itu menyarankan agar Putrajaya dijadikan lokasi pembinaan memorial itu yang disifatkannya sesuai kerana ia merupakan pusat pentadbiran negara.

Desas-desus pembinaan memorial MH370 mula tersebar selepas beberapa bulan pesawat itu hilang tahun lalu.

Khabar itu menjadi semakin panas selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi pada 24 Mac 2014.

Sementara itu, pengurusan Perbadanan Putrajaya ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai cadangan berkenaan.

NOTA: Saksikan temu bual penuh bersama Datuk Seri Liong Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 8 Mac di saluran Astro AWAN( (Saluran 501) mulai 7 pagi. Layari astroawani.com untuk laman tribut khas bagi memperingati setahun pesawat Malaysia Airlines MH370 mulai 12.01 pagi Ahad.