Malaysia mengesahkan bahawa laporan yang mengatakan sebuah pesawat telah dilihat terbang rendah di Maldives pada pagi yang sama MH370 hilang, tidak benar.

Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, perkara itu telah disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika beliau menghubungi rakan sejawatnya di Maldives.

"Berkenaan laporan bahawa pesawat itu telah dilihat di Maldives, saya boleh mengesahkan bahawa Panglima Angkatan Tentera Malaysia, telah mengesahkan laporan ini tidak benar," katanya.

Angkatan Tentera Maldives (MNDF) juga memaklumkan radarnya tidak mengesan pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu seperti yang didakwa dilihat oleh sebahagian penduduk di sebuah pulau terpencil di republik itu.

Menurut MNDF, ia telah meningkatkan usaha memantau wilayah Maldives dengan lebih teliti susulan kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu tetapi tidak mengesan pesawat berkenaan. Pesawat penerbangan MH370 itu juga tidak dikesan oleh radar yang berada di lapangan terbang di Maldives.

"Berdasarkan pemantauan setakat ini, tidak ada radar tentera di negara ini yang mengesan pesawat yang hilang itu. Selain itu, data yang diteliti setakat ini daripada radar yang ditempatkan di lapangan-lapangan terbang di Maldives tidak menemui kesan pesawat MH370," kata angkatan tentera itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan dari Dhivehi.

Dalam pada itu, MNDF juga sedang membantu pasukan polis republik itu menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh media di Maldives serta usaha mencari pesawat MH370 yang sedang dijalankan oleh agensi antarabangsa.

Media di Maldives pada Selasa melaporkan penduduk di pulau Kudahuvadhoo mendakwa melihat sebuah "pesawat terbang rendah" pada pagi 8 Mac, hari pesawat MH370 dilaporkan hilang.



Laman web berita Haveeru Online pada Selasa juga melaporkan penduduk pulau itu mendakwa mendengar bunyi bising yang kuat semasa pesawat itu melintasi pulau mereka.

Wartawan Haveeru, Ahmad Naif yang menulis laporan itu mendedahkan pihaknya mendapat maklumat berkenaan sejak 9 Mac lagi tetapi sangsi dengan kesahihan dakwaan tersebut.