Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Australia bagi menyediakan rangka kerja dan parameter yang meluas bagi kerjasama dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar sebelum laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, MoU itu merupakan bahagian penting dalam kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara dan menegaskan semula komitmen Malaysia ke arah pencarian itu.

"Dalam hubungan ini, Malaysia akan menyediakan sumbangan kewangan yang diperlukan ke arah usaha pencarian itu dan sepadan dengan komitmen Australia.

"Kombinasi peralatan pencarian dasar laut, pakar bertaraf dunia dan teknologi tercanggih yang digunakan akan memberi kita peluang terbaik untuk mencari MH370 dan kami berkeyakinan penuh untuk melaksanakannya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Liow, yang mengetuai delegasi Malaysia di Canberra, Australia menandatangani MoU itu dengan Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss hari ini.

Menteri Pengangkutan Malaysia itu turut mengadakan pertemuan tiga pihak dengan Truss, dan rakan sejawatannya dari China.

Liow berkata perbincangan semasa pertemuan tiga pihak itu adalah produktif dan membolehkan ketiga-tiga pihak membincangkan perkembangan dalam pencarian Pesawat MH370 dan melakar hala tuju seterusnya.

Kata Liow, beliau menjadi lebih bersemangat berikutan sikap keterbukaan dan kesediaan Australia serta China yang memberi Malaysia bantuan segera dan berterusan dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

"Bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap peranan selaku peneraju yang dilaksanakan Kerajaan Australia dalam misi yang begitu rumit serta mencabar ini, dan kepada Kerajaan China kerana sokongan
berterusan mereka dan sumber yang terarah kepada usaha ini," katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada kaum keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 yang hilang itu tentang usaha keras yang dijalankan untuk mencari pesawat berkenaan dan penyaluran lebih banyak maklumat serta perkembangan terkini berkaitan usaha itu sebaik sahaja diperoleh.

"Sekali lagi, Malaysia mengikrarkan sokongan berterusan dan tidak berbelah bahagi dalam menangani peristiwa tidak diduga ini menerusi komitmen kewangan, kepakaran teknikal, peralatan dan tenaga dalam usaha kita untuk mencari jawapannya," katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Misi dianggotai pelbagai negara digerakkan untuk mencari pesawat itu di Laut China Selatan dan Laut Andaman sebelum perdana menteri Malaysia mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di Lautan Hindi'.