Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu termaktub di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Merujuk kepada video tular di aplikasi Tiktok yang mendakwa haiwan diseksa secara terbuka di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, menurut DVS pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas anak-anak ayam berkenaan dan mendapati ia berada dalam keadaan yang baik serta tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau menderita.
"DVS turut menempatkan pegawai kebajikan haiwan bagi membuat pemantauan dari aspek kebajikan semua haiwan yang terlibat dalam MAHA 2024 yang berlangsung dari 11 hingga 22 Sept ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan pihak pempamer telah mematuhi semua keperluan kebajikan haiwan dan menasihatkan semua pihak agar membuat rujukan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa veterinar sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat serta mengundang provokasi.
-- BERNAMA