Bukan hanya meriam, ada banyak sejarah yang tersimpan rapi di tapak masjid yang berusia lebih 400 tahun ini, hingga menyebabkan ia berbaloi untuk dijadikan satu lagi lokasi bagi Jejak Masjid yang dilaksanakan sebelum ini.
Untuk makluman, masjid tersebut dibina semula pada tahun 1916 di tapak masjid lama memandangkan ia telah musnah dibakar ketika berlakunya Perang Perak pada tahun 1876 hingga 1877.
Terdapat juga cerita dari mulut ke mulut kononnya ratusan tahun dulu meriam tersebut akan meletus dengan sendiri jika sesuatu bencana akan menimpa kampung tersebut, seperti banjir besar dan sebagainya.
Difahamkan ia bertujuan untuk memberi amaran kepada penduduk setempat untuk bersiap sedia,bagaimanapun kesahihannya tidak dapat dipastikan dan tinggal misteri hingga sekarang.
Keunikan dan warisan itu tidak dibiarkan begitu sahaja, apabila baru-baru ini Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menonjolkan kembali sejarah yang ada di sini, bertepatan dengan Tahun Melawat Perak tahun depan.
Inisiatif untuk menggarap kisah sejarah itu turut mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dalam melengkapkan aspek informasi kepada orang ramai, khususnya menerusi media sosial.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, usaha MPKK dalam mempromosi sejarah yang ada di situ diharap dapat menjadi contoh buat pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Perak.
"MPKK juga mahu mengetengahkan sejarah tentang Kota Lama Kanan dan cuba mengangkat kawasan tersebut sebagai satu produk pelancongan berasaskan warisan.
"MPKK cuba mempelbagaikan produk pelancongan yang ada dan kita boleh lihat sudah banyak PBT di negeri ini yang bekerjasama dengan NGO dalam mencungkil maklumat sejarah di satu-satu lokasi," katanya.
Berbalik kepada Perang Perak, terdapat juga makam Panglima Alang Ishak iaitu pahlawan Melayu yang mempertahankan serangan tentera Inggeris yang menyerang Kota Lama Kanan ketika itu.
"Dikatakan Alang Ishak telah membunuh beberapa orang tentera Inggeris sewaktu pertempuran tersebut dan meninggal dunia selepas Perang Dunia ke-2. Selain itu terdapat makam Temenggung Wan Husain yang merupakan sahabat karib Sultan Idris Mursyidul Azam Syah.
"Di bahagian dalam masjid pula ada Batu Peringatan Sultan Mansur Shah, mengikut penceritaan turun temurun, dikatakan Sultan Mansur Shah tiba-tiba ghaib ketika solat Jumaat.
"Batu peringatan itu merupakan batu nisan yang dipasang dengan perintah Sultan Idris Murshidul Adzan Shah bagi memperingati baginda," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keunikan Meriam Padam Pelita, beliau memberitahu pada mulanya ada dua buah meriam, namun hanya tinggal satu setelah satu lagi dibuang oleh tentera British.
"Ketika kedatangan British ke Perak, Kota Lama dianggap sebagai kawasan yang negatif oleh J.W.W. Birch, ini kerana penduduk kampungnya yang sangat anti-British dan menentang penjajah," katanya lagi.
"Penduduk Kota Lama Kanan guna dua meriam semasa Perang Perak menentang British, selepas pertempuran Kota Lama pada 4 Januari, 1876, salah satunya ditawan dan dibuang ke dalam sungai.
"Hanya meriam ini yang tinggal dan menjadi bukti perjuangan orang Melayu menentang penjajah di Kuala Kangsar, menurut cerita lisan ia dinamakan sebegitu kerana apabila tembakan dilepaskan kononnya semua pelita di kampung akan terpadam," katanya.
Harapannya juga supaya lebih banyak lokasi sebegini diuar-uarkan kepada umum supaya ia dapat menjadi pengajaran serta pembelajaran, khususnya dari sudut pengorbanan pejuang terdahulu mempertahan kedaulatan tanah air.
Sehubungan itu, Nor Hisham berkata orang ramai dialu-alukan untuk datang sendiri ke sini bagi melihat keunikan sejarah masjid dan bahan warisan yang diletakkan di sini.