Manakan tidak, di sebalik kerancakan parti politik memancing undi, peniaga durian pula sibuk memancing pelanggan, dari pagi sampailah ke petang.
Menariknya, tahun ini, musim durian hadir betul-betul ketika tempoh berkempen, menghadirkan kemeriahan berganda buat penduduk di sana.
Masuk saja ke kawasan Kampung Gajah, kiri dan kanan jalan, pasti kelihatan penduduk menjual durian yang dibawa terus dari kebun mereka yang terletak berhampiran.
Ada yang dikutip pada awal pagi, terus dijual dan sebaik habis, mereka akan pulang untuk berehat sebelum esoknya, membawa ‘stok’ baharu lagi untuk pelanggan.
Menurut peniaga, durian dari Kampung Gajah sememangnya digemari, bukan sahaja kerana ada banyak pilihan namun kerana keistimewaan rasa durian kampung yang berbeza dengan durian klon.
"Kalau durian kampung ini, dia tak semuanya kuning. Dia ada yang warna putih susu tapi rasa, macam-macam rasa ada. Kalau durian kampung ini, dia tak macam durian bukit ke, IOI ke.
"Sesetengah orang tu dia biasa makan, macam Musang King ke, durian kahwin ke, mereka nak yang kuning saja kan tapi kalau durian kampung ini tiada. Dia tak semua kuning.
"(Apa rasanya) Dia ada rasa pahit-pahit, lemak sikit. Itulah rasanya," kata peniaga, Mohd Shahrul Naim Mohd Razali kepada Astro AWANI.
Bagi penggemar durian, lazimnya mereka tahu bagaimana cara untuk menentukan sama ada durian itu sudah masak, elok atau tidak.
Namun bagi mereka yang masih baru, tidak tahu kenapa selalunya orang cium dan goncang buah durian sebelum beli, mungkin ini jawapan yang anda cari.
"Kalau boleh goncang itu, memang dah masaklah. Macam ini, ada rasa gegar kan, dah masak lah tu.
"(Kalau mangkar?) Kalau mangkar, dia memang tiada bau, tapi isi dia keras," kata seorang lagi peniaga, Muhammad Azim Hamzah.
Seorang lagi peniaga, Muhamad Aiman Ahmad Nuri pula berkata, "Nak tentukan elok atau tak elok tu, kena tengok kulit luar dia. Kalau macam ini, eloklah, durinya lawa.
"Kalau tangkai macma ini, kira tangkai baru lah, baru hari ini luruh. Baru pagi tadi kami kutip.
"Kita ada banyak, kita ada 50 pokok di kebun. Kita ada banyak jenis, ada yang isi kuning, putih, isi tebal, isi nipis," ujarnya.
Bagi pelanggan yang memang gemarkan durian kampung, mereka tidak kisah memandu sedikit jauh, hanya untuk menghilangkan kempunan menjamah durian Kampung Gajah.
"Di sini ada lagi banyak pilihan, lagi banyak kalau nak banding dengan tempat lain. Saya memang suka durian kampung saja.
"Saya memang tak suka Musang King ke apa, saya memang suka durian kampung, sebab rasanya manis," kata Wan Zafirah Mohd Zain.
Seorang lagi pelanggan yang datang dari Tapah, Mohd Zamri M Zain berkata, dia sanggup ke Kampung Gajah kerana durian di sana "memang padu".
"Kampung Gajah ini duriannya bestlah, memang padu. Saya lebih suka durian kampung, durian kampung memang best.
"Durian pekan tak syok, rasanya tak kaw, tak sama dengan durian kampung. Durian kampung memang kaw, peluh-peluh bila lepas makan," ujarnya.
Bagi penggemar durian yang mahu makan durian ketika sarapan, makan tengah hari dan minum petang, Kampung Gajah mungkin boleh jadi destinasi anda selepas ini.