KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin komuniti bagi memastikan bantuan banjir dapat disampaikan dengan cepat dan cekap kepada mereka yang paling memerlukan.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata bencana banjir memerlukan pendekatan segera dan bersepadu serta kerjasama lebih erat dengan komuniti setempat, agensi kerajaan dan organisasi kemanusiaan, untuk memastikan respons yang menyeluruh dan selaras.

"Melalui kerjasama ini, kesan musim monsun dapat dikurangkan dan keperluan segera serta jangka panjang penduduk yang terjejas dapat ditangani dengan berkesan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dr Ahmad Faizal berkata pasukan MERCY Malaysia kini berada di lapangan untuk menilai situasi semasa dan menyediakan bantuan segera kepada komuniti terjejas.

Di Kelantan, beliau berkata mereka telah menghantar pasukan tiga anggota ke Gua Musang, Kelantan untuk menjalankan penilaian segera, selain terdapat ahli MERCY Malaysia Cawangan Negeri Kelantan terkandas di Kuala Krai akibat kenaikan paras air.

"Pasukan kami telah bergerak pantas untuk memulakan usaha bantuan di Kelantan, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan rakan sekerja yang terkandas dan penghantaran bantuan yang berkesan," katanya.

Manakala di Terengganu, beliau berkata MERCY Malaysia telah menyelesaikan misi penilaian pantas selama empat hari bermula 22 Nov, antaranya melawat pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengadakan perbincangan strategik dengan agensi tempatan untuk menyelaras usaha bantuan.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melancarkan Tabung Kecemasan Bencana Banjir untuk membantu mereka terkesan bencana itu khususnya di Kelantan, dengan pasukan misi awal akan digerakkan Global Peace Mission (GPM) Malaysia pada esok (29 Nov).

ABIM memohon sumbangan melibatkan barangan ibadah, kit kebersihan diri seperti sabun mandi, ubat dan berus gigi, kit wanita termasuk tuala wanita dan tisu basah, serta permainan kanak-kanak yang boleh dihantar ke pusat pengumpulan di Dewan Sekretariat ABIM Pusat, Nombor 6, Jalan TC 2A/2, Taman Cemerlang di sini bermula 9 pagi hingga 5 petang Isnin hingga Jumaat.

Orang ramai juga boleh memberi sumbangan wang tunai ke akaun Bank Islam ABIM di akaun bernombor 14023010030552 dengan rujukan banjir 2024.

-- BERNAMA