Di Selangor, sebanyak 975 orang daripada 232 keluarga berlindung di enam PPS berbanding 960 orang petang tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mereka adalah penduduk di Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.
Di Perak, sebanyak 136 orang ditempatkan di empat PPS di Taiping dan Kerian malam ini berbanding 121 orang petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan PPS terbaharu dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai yang menempatkan 28 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Air Itam 2 Kiri.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula memaklumkan pada malam ini semua daerah di Perak diramalkan mengalami hujan lebat dan ribut petir.
-- BERNAMA