KUALA LUMPUR: Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini (24 Ogos).

Dalam satu kenyataaan yang dikeluarkan, Wisma Putra berkata, ini merupakan lawatan pertama Vieira ke Malaysia sejak menyandang jawatan sebagai Menteri Luar pada 1 Januari 2023.

Dalam rangka lawatan ini, Vieira akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata Wisma Putra, kedua-dua Menteri Luar Negeri ini dijangka membincangkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua buah negara, termasuk perdagangan dan pelaburan, industri Halal serta hubungan antara rakyat.

Kedua-dua pihak juga akan bertukar pendapat mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Vieira turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin.

Pada 2023, Malaysia dengan Brazil mencatat jumlah dagangan sebanyak RM17.46 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding RM16.86 bilion yang dicatatkan pada 2022.