Bukan setakat ada yang berasal dari luar Perak malah, ramai antara mereka yang membuat keputusan untuk terus tinggal di pondok yang telah mula beroperasi sejak pada tahun 2006.
Rahmatiah Hasnuddin, 60, berkata, beliau mengenali penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau ‘Ustaz Kazim’ selepas mengikuti siri rancangan ‘Kalau Dah Jodoh’ yang disiarkan di Astro Oasis sebelum ini.
Beliau yang berasal dari Sabah berkata, kaedah pengajaran Ustaz Kazim ketika mengacarakan rancangan itu membuatkan dirinya rasa tertarik untuk lebih mendalami ilmu agama dan nekad untuk berjumpa sendiri dengan pengasas Pusat Pendidikan Al Barakah itu.
“Pada mulanya, saya menonton rancangan ‘Kalau Dah Jodoh’ yang popular dan dipengacarakan Ustaz Kazim. Kemudian saya cuba tanya pada kawan-kawan untuk dapatkan nombor telefon bagi bertanyakan bagaimana untuk belajar agama dengan beliau.
“Kemudian, selepas saya tahu pusat pengajian Ustaz Kazim itu ada di Ipoh Perak, saya terus buat keputusan untuk datang ke sini. Ketika itu juga memang pertama kali saya ke Perak,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Pendidikan Al Barakah, baru-baru ini.
Rahmatiah yang hidup sebatang kara berkata, keakraban yang terjalin dengan pelajar-pelajar pondok dewasa lain sejak enam tahun lalu membuatkan dirinya tidak lagi berasa terasing.
Tambahnya aktiviti-aktiviti yang dilakukan di situ terutama sepanjang Ramadan seperti qiamulail, tadarus Al-Quran, solat tarawih, berbuka puasa beramai-ramai antara yang sering dinanti-nantikan.
Sementara itu, bagi pelajar yang paling berusia di situ, Kalsom Salbiah Mohd Saad, 83, atau mesra disapa ‘Kak Cik’ rasa cintanya pada majlis-majlis ilmu membuatkan beliau turut membuat keputusan sama untuk terus tinggal di pondok pengajian dewasa itu sejak tahun 2007.
Malah beliau yang berasal dari Selama itu berkata, sepanjang berada di Pusat Pendidikan Al Barakah beliau juga menghabiskan sebahagian masanya di situ dengan menulis senaskhah al-Quran.
“Dahulu saya menulis jawi, kemudian Ustaz Kazim beri saya helaian al-Quran kosong dan saya tulis sendiri al-Quran 15 juz. Dan sekarang ini saya dalam proses untuk menyambung lagi penulisan al-Quran,” katanya.
Ibu kepada lapan orang anak dan nenek kepada 32 cucu itu berkata, ahli keluarganya tidak menghalang dan menyokong keputusan Kalsom Salbiah untuk terus tinggal di pusat pengajian berkenaan.
Sementara itu, bagi bekas guru, Kamariah Che Wahab, 70 pula, keputusan untuk terus tinggal di pondok pengajian itu bersama suami, Abdul Wahab Maidin, 77, sejak dua tahun lalu juga disokong ahli keluarga.
Katanya, selepas bersara, beliau membuat keputusan untuk mencari pondok-pondok pengajian dewasa bagi mendalami ilmu agama dan akhirnya hatinya seolah-olah mula tertaut di Pusat Pendidikan Al Barakah.
“Antara sebab saya tertarik untuk tinggal di sini adalah kerana keadaan persekitarannya yang bersih, selesa dan kaedah pembelajaran agama yang sistematik.
“Selain itu layanan yang kami terima di sini sangat baik dan membuatkan kami warga-warga emas ini rasa sangat dihargai. Sehinggakan saya rasa adalah lebih baik tempatkan ibu bapa di pusat pengajian agama seumpama ini berbanding rumah perlindungan warga emas.
“Di sini, kita dapat mendalami ilmu-ilmu agama selain membuatkan jiwa lebih tenang,” katanya yang berasal dari Terengganu.
Sementara itu, Ustaz Kazim ketika ditemui berkata, selain daripada yang menetap terus, pondok pengajian agama dewasa itu juga terbuka kepada warga emas yang mahu datang bagi tempoh-tempoh singkat tertentu.
Menurutnya, sebelum ini pondok pengajian agama dewasa di Pusat Pendidikan Al Barakah pernah menerima kunjungan individu dan kumpulan dari negara luar seperti Singapura, Thailand, Jepun, Australia dan Sweden.
“Jumlah mereka yang menetap di pondok pengajian agama dewasa terdiri daripada 270 orang yang mana ada antara mereka ini golonga fakir miskin dan yang telah uzur.
“Mereka yang uzur ini pula kita akan uruskan daripada segi pengangkutan bagi mereka mendapatkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan berkala di hospital,” jelasnya lagi.