Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan takziah dan medoakan agar keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan ini.
“Saya doakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu ciapan di X.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengucapkan takziah dan mengimbau jasa Allahyarham dalam perkhidmatan awam.
“Daim adalah seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara Malaysia.
“Saya doakan agar Allah mengampuni dosa beliau, menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan memberikan pahala atas segala sumbangan beliau,” katanya.
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, juga mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan mendoakan kesejahteraan ke atas roh beliau.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham di atas pemergian beliau pada hari ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenang jasa Daim semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.
Menurutnya, sumbangan Allahyarham dalam membangunkan negara amat dihargai dan beliau mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
“Almarhum sangat besar jasanya kepada negara. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin dan dilimpahi rahmat,” ujar beliau.
Bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar juga menzahirkan rasa dukacita, mengenang Allahyarham bukan sahaja sebagai rakan sekerja, tetapi juga sebagai sahabat kepada keluarganya.
Katanya, Allahyarham berkhidmat dengan penuh dedikasi dan komitmen, terutama semasa menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan.
“Beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi dan komitmen, terutama ketika menggalas jawatan Menteri Kewangan pada waktu yang mencabar.
“Tidak dapat dinafikan, beliau telah berjasa besar kepada negara,” kata Syed Hamid.
Daim, 86 tahun, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 8.21 pagi tadi.
Beliau sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001.