Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata tindakan Majlis Syura menggugurkan keanggotaannya tidak melemahkan semangat perjuangannya untuk mendaulatkan Islam.
 
"Jawatan tersebut adalah lantikan parti, bukan pilihan saya, jika parti ambil kembali jawatan itu, itu adalah hak parti", kata beliau dalam SMS-nya kepada para wartawan.
 
Nasharudin juga mengakui belum menerima sebarang surat menyatakan perlucutan jawatan tersebut sebaliknya mengetahui perkembangan itu melalui media.
 
"Berorganisasi hanyalah wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan," jelas ahli parlimen Bachok itu.
 
Nasharuddin kini memegang status sebagai ahli biasa PAS selepas digugurkan daripada Majlis Syura bertarikh 13 Januari lalu atas alasan gagal memberi komitmen terhadap tugasnya sebagai anggota majlis itu.
 
"Saya akan terus berikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam," ujar beliau.