KUALA LUMPUR: Tindakan segera telah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan keselamatan kawasan di sekitar Jalan Masjid India.

Ini berikutan insiden tanah mendap yang berlaku berdekatan Pondok Polis Masjid India awal pagi tadi.

DBKL memaklumkan, pihak Indah Water Konsortium (IWK) kini sedang menjalankan pemeriksaan paip kumbahan di lokasi tersebut serta di kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kerosakan lanjut.

“Kami akan terus bekerjasama erat dengan Indah Water Konsortium serta agensi-agensi lain untuk memastikan tindakan susulan yang berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa daripada berlaku di masa hadapan.

“Keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur adalah keutamaan kami,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

DBKL juga, tambah beliau, akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tiba di Jalan Masjid India jam 11.30 pagi tadi.

Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau situasi mendapan baharu itu, selain turut diberikan taklimat mengenai perkembangan terbaharu operasi pencarian mangsa tanah jerlus minggu lalu.