LIMA hari selepas gelanggang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 dibuka, saya berkesempatan menjenguk WTC, tempat berlangsungnya pesta itu.

Sengaja saya tidak mengunjunginya pada hujung minggu atau hari di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan PBAKL 2022 kerana saya tahu, jika ke sana pada Sabtu atau Ahad, pengunjungnya pasti ramai. Begitu juga pada hari Perdana Menteri turun menyempurnakan pesta 10 hari itu - kebetulan pada Ahad juga - saya memilih untuk tunggu dahulu, memandangkan saya maklum, orangnya pasti luar biasa berduyun-duyun ke sana.

Dikatakan, ini "pesta buku fizikal" yang boleh melemaskan peminat, penerbit dan mereka yang bekerja dalam industri, kerana ini pertama kali, selepas dua tahun, semua mereka ini dapat berkumpul melayan nikmat tersendiri, melayar dari satu gerai ke satu gerai buku yang lain tanpa jemu dan letih. Dan, bagi penerbit dan penulis pula, ini bermakna "wang" untuk mereka kerana apabila banyak orang datang, matematik mudahnya, banyak material bertukar tangan. 

Para peminat buku pasti tidak lepaskan peluang membaca dan membeli buku fizikal di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang bermula 3 Jun hingga 10 Jun 2022. - Gambar Astro AWANI

Jangan dilupakan, sejak pandemik COVID-19 melanda, antara industri yang terjejas adalah industri buku. Sebelum pandemik, jualan di kedai-kedai buku walaupun tidak seperti masa gemilangnya, masih antara perolehan terbesar syarikat penerbitan.

Dan, ketika pandemik melanda, ditambah sekatan yang menyusulinya, ya, selama dua tahun, untuk beberapa bulan awal kedai buku terpaksa gulung tikar, kilang cetak ditutup, dan syarikat penerbitan dalam perit berjuang bagi mengurangkan kos. Lebih lara, ada yang terpaksa memberi cuti tanpa gaji, tidak kurang sesetengahnya terpaksa memberhentikan pekerja.

Dalam tempoh yang kelam tenat dan diramal mati pada bila-bila masa itu, tanpa disangka, jualan dalam talian pula melonjak, ya, selama dua tahun sewaktu pandemik, sehingga menjadi antara sinar harapan industri buku. Sehingga kini, jualan dalam talian luar biasa rancak, lebih tepat mencanak. Malah, PBAKL, penerbit dan penulis, berlumba-lumba menggunakan platform media sosial untuk mempromosi buku masing-masing - buku boleh dibeli secara dalam talian atau datang sahaja ke PBAKL 2022, dapatkan buku. Sungguh, buku-buku baharu mampu kembali diterbitkan dan syarikat penerbitan kembali menugaskan pekerja baharu. Benar, buku dan ringgit, masing-masing banyak dan lumayan bertukar tangannya.

Di PBAKL 2022, saya nampak sinar ini. Di PBAKL, saya terlihat semarak semangat Iqra'. Syukur, Alhamdulillah.

Dikatakan, dalam tempoh tiga hari penganjurannya, sudah lebih 500,000 pengunjung melawat ke PBAKL 2022. Wah, setengah juta orang. Sasarannya 700,000 pada penganjuran kali ini, ketika mana masih berbaki banyak hari lagi sehingga 12 Jun 2022 apabila PBAKL 2022 melabuhkan tirainya. Mudah kira-kira, ia bukan sahaja capai sasaran, malah melebihi ramalan awalnya.

Namun, pada lapis lain, adakah ini petanda industri buku sudah baik demam atau lebih sedap dirujuk kembali sihat?

Mari kita diskusi lanjut. Pertama, barangkali kita boleh tanyakan, adakah sihat itu sihat kualiti atau sihat ekonomi? Kualiti itu, walaupun sifatnya sukar diukur, ia boleh sahaja terlihat pada pencapaian matlamat - membeli buku untuk mendapat ilmu dan menakluk dunia. Saya optimis, ini ada di mana-mana PBAKL, baik sebelum atau selepas pandemik.  Maka, persoalan satu lagi, selepas dua tahun tenat dan didakwa hampir tutup usia, sihat ekonomi nampaknya lebih perlu diambil kira.

Kata Pengarah Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, jualan secara dalam talian sangat menggalakkan. Nah, sihat ekonomi. Malah, beliau sendiri, selepas tidak lagi bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), kerana begitu mencintai buku, hampir setiap hari tanpa gagal, menjual sendiri buku secara "live" di Facebook (FB) dan jualannya amat tidak mengecewakan.

"Apa maknanya ini semua?" Saya tidak menjawab soalannya, tetapi beliau sendiri menyambung, "Ertinya, orang masih membaca buku dan terus membaca, datanglah apa wabak sekali pun, buku fizikal ini ada daya pikatnya sendiri. Jual buku sejam di FB, satu malam dapat pembeli paling kurang lima orang, itu memang lebih daripada melegakan," kata beliau beberapa hari sebelum PBAKL 2022 berlangsung.

Senada dengannya, rakan saya, seorang editor buku, penulis dan penceramah penulisan, malah penjual buku sendiri, Mr ZZ. Katanya, kerja untuk menyunting buku baharu banyak diterimanya, petanda masih banyak buku mahu diterbitkan. Buku baharu beliau yang dipromosi habis-habisan di platform media sosial dan Shopee, jualannya juga baik di awal masa diceburinya dan kini semakin baik.

Ramainya pengunjung di WTC, Kuala Lumpur untuk meraikan ilmu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 memberi petanda buku fizikal masih ada peminatnya, hayat buku fizikal masih panjang. - Gambar Astro AWANI

Namun, tidakkah ia diganggu buku digital, kerana era ini era digital, membunuh banyak masa membaca peminat buku? Saya ajukan soalan ini kepada Mr ZZ dengan merujuk secara khusus kepada kebimbangan hayat buku fizikal melawan e-book.

"Ya, ada sedikit tergugat, tetapi di pesta buku tempatnya penulis boleh cuba tawarkan kelainan, menulis kisah-kisah pendek dan inspirasi yang kemudiannya dibukukan. Era digital dan zaman pandemik, adalah ketika mana masa untuk membaca itu ada, tetapi genre yang tidak berat, menyedarkan dan kisah ria. Ini, saya boleh katakan vaksin semasa era digital, zaman pandemik. Jika ini ada di PBAKL 2022, tidak mustahil, boleh laku keras, peminat buku pasti cari, berebut-rerbut mereka, tentunya," kata Mr ZZ.

Nah, sekali lagi, kenyataan itu, barangkali menyokong hujah sihat ekonomi - ya, sihat ekonomi untuk semua pemain industri. Pada kesimpulannya, industri buku memang sudah nampak semakin sihat, kalau PBAKL 2022 jadi penanda aras. Ini kerana, vaksinnya sudah ada, jaminan Perdana Menteri untuk terus memberi sokongan kepada industri dan juga kenyataannya meminta jangan membunuh industri dengan terus membaca.

Hanya, enggan menjadi pesimis, saya melihat, untuk mengharapkan ia sihat seperti zaman gemilangnya dahulu, mungkin agak terlebih-lebih. Pandangan ini diukur dengan menjadikan pesta buku sebagai perbandingannya. Kalau dahulu, pesta buku ditandai dengan banyaknya naskhah, penuhnya ilmu di dalamnya. Baunya buku fizikal, menyalakan api semangat membaca. Kini, banyaknya naskhah, dalam cara berbeza, penuhnya ilmu boleh dipilih, mahu dibantu teknologi digital atau tidak dan semangat serta nikmatnya tidak akan pernah sama.
    
Saya pernah menulis mengenai kebimbangan mengenai nyawa buku fizikal di era digital dalam tulisan berjudul "Hayat buku zaman digital" pada 2014, di mana saya kaitkan industri buku yang masih perlu bersaing dengan telefon pintar dan industri streaming filem yang semakin bercambah, pada hayat ini.

Dan, mengambil latar PBAKL 2022, saya menulis lagi mengenainya, kerana saya berpandangan, itu hakikat baharu yang perlu dimaklumi oleh semua pemain industri. Walaupun sinar dan semarak membaca buku fizikal terpamer di PBAKL 2022, ia tidak lebih daripada bergerak dengan fakta bahawa, ya, benar, buku tetap akan wujud, tidak mati walaupun orang yang mengatakannya sebegitu, iaitu Robert D. Downs juga sudah lama mati. Cuma barangkali, sesekali ia diuji demam dan perlu ubat. Dan, apabila sihat disuntik "vaksin" oleh pemain industri itu sendiri (dengan memberi sokongan luar biasa di pesta yang setahun sekali diadakan) serta kerajaan, ia boleh sembuh buat seketika.

Namun,  pada masa akan datang, jika ada wabak lebih ganas menyerang industri, belum tentu hayatnya panjang, kerana pada akhirnya, vaksin sebenar terletak kepada sihat ekonomi, di mana penentunya ada kuasa meletakkan kualiti, membeli dan kemudian menyembuh - kumpulan pembaca itu sendiri.



*Azlinariah Abdullah ialah pencinta buku, Editor Astro Awani, penulis buku Pengembara Tanpa Pasport dan sedang mengerjakan naskhah ketiga, Senandika Selatan Thailand, Luka Sembuh Parut Masih Berdarah

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.