Menara yang runtuh akibat ribut dan meragut dua nyawa di Jalan Macalister, Pulau Pinang semalam bukanlah sebuah menara telekomunikasi seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), struktur yang jatuh itu merupakan sebuah ‘lightning arrestor’ (penebat petir) yang telah direkabentuk secara kosmetik bagi penampilan lebih sesuai

Ia dikenal pasti oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Wilayah Utara SKMM yang telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil tinjauan mendapati struktur itu bukanlah struktur menara telekomunikasi.

“Memang sah struktur yang runtuh bukan struktur telekomunikasi. Tapi ianya adalah ‘lightning arrestor’ dibina dalam bentuk kosmetik. Struktur pemegangnya juga telah runtuh menghempap jalan,” kata Ahmad Nor Hisham Mohd Yusop, Ketua Pejabat Wilayah Utara, SKMM.

Dalam kejadian ribut dan angin kencang lewat petang semalam, dua orang maut dan lapan orang cedera.

Kejadian melibatkan seorang kelindan lori pikap, Jahir Hussain Sulaiman, 46, maut apabila menara yang terletak di atas menara Umno di Jalan Macalister runtuh dan menghempap kenderaan mangsa.

Seorang lagi mangsa, Wong Tze Chow, 32 tahun maut dihempap pokok ketika sedang berjogging di empangan Air Itam.