MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka pada Selasa menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 bagi membantu membiayai Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah 2024 merentasi 11 negara melalui jalan darat sejauh lebih 15,000 kilometer bermula 21 Mac ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata konvoi jelajah membabitkan 20 peserta itu dijangka mengambil masa kira-kira 100 hari untuk sampai ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji sekiranya tiada halangan atau kekangan.

"Konvoi ini dijangka sampai ke Mekah pada 27 April dan merentasi 11 negara antaranya Thailand, Laos, China, India, Pakistan, Iran, Kuwait dan Arab Saudi melibatkan keseluruhan bajet berjumlah RM580,000.

"Pergerakan konvoi berkenaan bergantung kepada tahap pemanduan, bentuk muka bumi, jalan raya, cuaca dan kenderaan yang digunakan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta Jelajah Silaturahim Malaysia Ke Mekah 2024 di Seri Negeri di sin semalam.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Datuk Rahmad Mariman.

Ab Rauf berkata konvoi itu akan mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 di negara yang mereka lewati dalam usaha menggamit kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan pada tahun ini.

Beliau turut berharap perjalanan konvoi berkenaan akan berjalan lancar seperti dirancang dan peserta dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna serta selesa.

Sementara itu, Penyelaras Projek Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah 2024 Nursulhi Rahim, 47, berkata semua proses penyediaan dokumentasi berjalan lancar dan peserta terbabit yang berusia lingkungan 19 hingga 59 tahun berada dalam keadaan sihat fizikal dan mental.

"Cuma sekarang ini, faktor cuaca yang terlalu panas mungkin sedikit sebanyak mengganggu peserta... mungkin akan mudah mengantuk lebih-lebih lagi memandu dalam bulan Ramadan.

"Sebagai penganjur, saya ada sedikit kegusaran kerana lebih separuh dalam kalangan mereka yang menyertai konvoi ini tidak pernah memandu jauh namun saya mengharapkan doa semua agar perjalanan konvoi ini berjalan lancar dan selamat," katanya.

Beliau berkata jelajah itu juga akan menggunakan sebuah motosikal pertama buatan Malaysia iaitu Modenas Kriss 110 selain sebuah kereta Proton Wira Aeroback.

-- BERNAMA