MELAKA: Kerajaan negeri mencadangkan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Ayer Keroh berikutan kekangan agensi keselamatan itu untuk beroperasi di bangunan sedia ada, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata IPD Melaka Tengah ketika ini beroperasi di sebuah bangunan dibina pada 1924 yang dijadikan sebagai pejabat pentadbiran British dikenali sebagai 'Malacca Volunteer Drill Hall' bagi pasukan 'The Straits Settlement Volunteer Force' (SSVF) hingga 1948.

"Bangunan IPD ini hanya mampu menempatkan enam bahagian sahaja, justeru disebabkan kekangan ruang yang terhad dan tidak mampu menampung jumlah kekuatan keanggotaan serta keperluan logistik, bahagian lain terpaksa ditumpangkan di bangunan lain.

"Cadangan pembinaan IPD Melaka Tengah yang baharu telah diangkat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) menerusi Rolling Plan ke-5 dengan anggaran kos sebanyak RM250 juta di atas sebidang tanah berkeluasan 4.94 hektar di Krubong di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Lawatan Kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Ab Rauf berkata sementara bangunan baharu itu siap sepenuhnya, pejabat pentadbiran IPD Melaka Tengah dicadang untuk dipindahkan ke Kompleks Wisma Wawasan di Batu Berendam.

Beliau berkata agensi keselamatan itu turut mengemukakan permohonan pembinaan Kompleks Balai Polis Ayer Keroh yang kini beroperasi di premis lot kedai selepas tapak asal balai berkenaan diambil bagi pembinaan bangunan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sejak 2007.

"Cadangan pembinaan bangunan ini juga telah diangkat dalam RMK12 dengan anggaran kos berjumlah RM50 juta di atas sebidang tanah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluas 2 hektar di Ayer Keroh.

"Mewakili seluruh warga PDRM Melaka, saya dengan rasa rendah diri memohon pertimbangan yang sewajarnya daripada Perdana Menteri agar permohonan ini mendapat kelulusan segera demi keselesaan serta kemudahan orang awam yang datang berurusan di IPD Melaka Tengah dan Balai Polis Ayer Keroh.

"Saya bersama seluruh warga PDRM Melaka juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri di atas keprihatinan dan kesudian melihat keperluan warga PDRM Melaka Tengah khasnya dan Melaka amnya," katanya.

-- BERNAMA