MEKAH: Pengamal media antarabangsa yang diundang Saudi Press Agensi (SPA) untuk membuat liputan musim haji tahun ini dibawa melawat beberapa lokasi penting untuk menyaksikan pelbagai inisiatif, program dan kemudahan yang disediakan kepada jemaah haji kali ini.

Satu daripadanya ialah Pusat Perkhidmatan Kad Nusuk di sini yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan kad pintar berteknologi tinggi berkenaan kepada semua jemaah haji yang telah mendapat visa haji.

Kad berkenaan akan memudahkan pihak berkuasa haji, pekerja haji dan agensi penguat kuasa lain mengenal pasti dan mengesahkan identiti setiap jemaah dengan pantas serta menghalang mana-mana individu tidak berkenaan memasuki semua kawasan suci sempena musim haji.

Menurut Timbalan Pengurus Projek Kad Nusuk Dr Esam Qattani dengan kemudahan itu berupaya melicinkan pergerakan dan meningkatkan tahap keselamatan jemaah ketika melaksanakan ibadah di semua kawasan suci.

"Tiada siapa dibenarkan memasuki kawasan suci semasa musim haji kecuali mereka yang memiliki Kad Nusuk...setakat ini mereka yang sudah tiba di Makkah (dengan Visa Haji) atau 95 peratus daripadanya sudah menerima Kad Nusuk," katanya kepada pemberita semasa memberi taklimat berkenaan kemudahan itu di sini.

Setiap jemaah dapat bekalan zamzam

Menurut Essam, setakat ini sebanyak 1.7 juta Kad Nusuk sudah dikeluarkan kepada jemaah haji serta menegaskan pihak berkuasa daripada pelbagai agensi keselamatan amat mudah mengesan kad palsu jika ada cubaan memalsukan kemudahan itu.

Sementara itu, pengamal media turut dibawa melawat Zamazemah Co, iaitu satu daripada syarikat yang dipertanggungjawabkan kerajaan Arab Saudi untuk memproses air zamzam bagi diedarkan secara percuma kepada setiap jemaah haji musim ini.

Pengurus kilang syarikat berkenaan, Abdulelah Muneef berkata pihaknya berupaya mengeluarkan 240,000 botol minuman air zamzam 330ml setiap hari dan menyasarkan mengeluarkan 1.8 juta karton air zamzam pada musim haji kali ini.

Zamazemah Co ialah satu daripada syarikat yang dipertanggungjawabkan kerajaan Arab Saudi untuk memproses air zamzam bagi diedarkan secara percuma kepada jemaah haji. --fotoBERNAMA

Beliau berkata sumber air zamzam mentah dari telaga zamzam yang dibawa ke kilang itu akan diproses secara teliti untuk memastikan kualiti dan keselamatannya berada pada tahap tertinggi seperti ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan kerajaan Arab Saudi.

"Tugas kami bukan sahaja memproses dan mengeluarkan air zamzam tetapi juga untuk memastikan setiap jemaah haji musim ini akan memperoleh 20 botol (satu karton) air zamzam," katanya.

Pada musim haji kali ini, seramai 21 wartawan dan jurufoto mewaliki 10 agensi berita dari tujuh buah negara diundang oleh SPA untuk membuat liputan haji kali ini.

Sumber air zamzam mentah dari telaga zamzam dibawa ke kilang untuk diproses secara teliti bagi memastikan kualiti dan keselamatannya berada pada tahap tertinggi. --fotoBERNAMA

-- BERNAMA