MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi menyasarkan agihan sebanyak 40 juta pek botol air zamzam kepada seluruh jemaah haji bagi musim 1445H/2024M.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Arab Saudi menyasarkan untuk mengagihkan 40 juta pek botol air zamzam kepada jemaah haji bagi musim 1445H/2024M.
  • Dzulfitri Yusop dan Shafizan Johari dari Astro AWANI melawat kilang air zamzam, Zamazemah Corporation di Makkah. Mereka mengetahui bahawa kilang itu mempunyai kawalan kualiti yang ketat untuk memastikan kualiti air zamzam yang dibotolkan.
  • Setiap jemaah haji akan diberikan 22 botol kecil air zamzam dan boleh membawa pulang botol berisi lima liter air zamzam. Kerajaan Arab Saudi juga menyediakan mesin vending air zamzam yang boleh digunakan oleh semua jemaah untuk memudahkan akses.


Editor Kanan Astro AWANI Dzulfitri Yusop yang kini berada di tanah suci Makkah memaklumkan beliau bersama rakan Editor Kanan Astro AWANI, Shafizan Johari, berkesempatan melawat kilang air zamzam, Zamazemah Corporation pada Ahad.

"Kami difahamkan ada beberapa kilang air zamzam berdekatan dengan kilang ini iaitu di Makkah yang mana tugasnya untuk membungkus botol-botol air zamzam daripada telaga zamzam yang terletak di Masjidil Haram.

"Air itu disalirkan dibawa terus ke kilang. Kami dibawa ke kilang dan ditunjukkan cara bagaimana air zamzam dipam.

"Setiap jemaah yang datang menunaikan haji sudah pasti berharap dapat membawa pulang air zamzam. Tahun ini dianggarkan 40 juta pek disasarkan untuk syarikat ini seterusnya diedarkan kepada para jemaah tahun ini," katanya.

Setiap jemaah dapat bekalan air zamzam

Menerusi lawatan tersebut, Dzulfitri memaklumkan pihak kilang amat menitikberatkan kualiti air zamzam yang dibotolkan. 

Pihak pengurusan kilang turut memiliki sekumpulan saintis dan pakar yang memantau rapat tahap kualiti dan ketulenan air yang dibotolkan termasuk mempunyai standard kawalan kualiti (QC) yang tinggi.

Dalam pada itu, peruntukan sebanyak 22 botol kecil air zamzam diagihkan kepada setiap jemaah manakala lima liter botol berisi air zamzam boleh dibawa pulang jemaah haji.

Sementara itu, antara kemudahan yang disediakan Kerajaan Arab Saudi adalah mesin layan diri (vending machine) air zamzam yang boleh digunakan semua jemaah.

"Mereka ada teknologi, kalau anda tak dapat, anda boleh imbas kod QR. Selepas imbas anda boleh beri feedback dan boleh request maklumkan sekiranya anda tak dapat. Itu antara kemudahan disediakan di sini," katanya.