Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said digesa tidak menyalahkan rakyat negeri itu apabila sokongan terhadap Barisan Nasional negeri itu semakin merosot terutama pada Pililhan Raya Umum yang lalu.

Ahmad Said dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembinaan Rumah Pangsa Empat Tingkat di Kampung Lay Out Tok Saboh, disini pada Sabtu lalu berkata rakyat Terengganu kini agak ‘kedekut’ dalam memberi undi kepada BN pada Pilihan raya Umum lalu sehingga menyebabkan 15 kawasan DUN negeri telah jatuh ke tangan Pas.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata jikalau rakyat tidak lagi memberikan sokongan kepada BN itu sudah bermakna rakyat kecewa dengan prestasi kerajaan negeri yang sedia ada.

“Itu adalah isyarat bahawa rakyat kecewa dengan prestasi kerajaan BN. Malah, slogan ‘Dahulukan Rakyat’ juga tampak tidak lagi memainkan peranan kepada rakyat Terengganu. Oleh itu, tolong tengok prestasi sendiri sebelum menyalahkan rakyat. Ini satu yang tidak baik dalam demokrasi kerana menyalahkan rakyat kerana rakyat itu tuan,” kata Dzulkefly ketika sidang media harian Pas di Markas Besar Pas di Kampung Baharu, Kuala Besut pagi ini.

Naib Presiden Pas pula, Salahuddin Ayob pula berpendapat , itu merupakan satu petanda bahawa rakyat sekarang ini sedang bergerak ke arah satu perubahan berkata

“Dalam PRU 2004, mereka berjaya rampas balik Terengganu dari Pas. Pada PRU 2008 pula Pas hanya dapat lapan kerusi sahaja dan kini telah bertambah kepada 15 kerusi jadi jangan salahkan rakyat kerana satu petanda bahawa rakyat sekarang ini sedang bergerak ke arah satu perubahan. Cuma tak cukup dua kerusi sahaja,” kata Salahuddin.

Beliau berpendapat Datuk Ahmad Said tidak perlulah mengelar rakyat kedekut atau bakhil dan sebagainya.

“Harusnya BN lihat isu ini melibatkan persembahan dan prestasi mereka yang harus mereka perbetulkan demi mendapat mandat rakyat,” kata Salahuddin.

Namun, apa yang penting bagi Pas adalah untuk mencapai keputusan 16-16 itu supaya menurut mereka semakin kuat persaingan, rakyat semakin mendapat keuntungan.

Timbalan Pengarah 1 Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, Dr Mohd Hatta Ramli pula berkata dalam majlis perasmian itu juga, Menteri Besar Terengganu berkata ini projek yang dijalankan itu bukanlah projek bersempena pilihan raya dan mereka tidak ambil kesempatan dari itu.

“Namun, dalam masa yang sama mereka mengatakan pula mereka akan bina 500 unit jika BN menang disini. Bagi saya itu semacam ugutan kepada rakyat dan dengan mengatakan bahawa rakyat kedekut undi, ini bukan caranya untuk dia menyelesaikannnya,

Menurutnya, jika benar kerajaan Terengganu bertanggungjawab, mereka perlu melaksanakan projek tersebut demi rakyat, tanpa perlu mengenakan syarat – “vote for us, you get a house”.

Pada Pilihan Raya Kecil DUN Besut yang bakal berlangsung pada 24 Julai ini, calon Pas, Endot @ Azlan Yusof akan menentang calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.