KUALA LUMPUR:Pengguna laman web dan aplikasi Maybank2u mengalami gangguan ketika cuba mengakses perkhidmatan perbankan dalam talian itu pagi ini.

Kata kunci ‘Maybank’ menjadi antara topik tular di Twitter apabila rata-rata pengguna bank itu berkongsi tentang isu berkenaan.

Maybank bagaimanapun menjelaskan terdapat gangguan sementara waktu bagi laman web serta aplikasi perkhidmatan Maybank2u.

“Harap maklum bahawa terdapat gangguan bagi penggunaan laman web Maybank2u dan Maybank2u app buat masa ini.

“Kami sedang cuba untuk mengembalikan sistem beroperasi seperti biasa secepat yang mungkin.”

“Secara alternatif, anda boleh menggunakan MAE Maybank App untuk melakukan transaksi,” menurut kenyataan bank itu di akaun rasmi @MyMaybank di Twitter.


Tinjauan Astro AWANI mendapati aplikasi MAE dapat diakses ketika ini, namun fungsi pembayaran menggunakan kod QR masih tidak dapat digunakan.

Aplikasi MAE merupakan perkhidmatan e-dompet yang dilancarkan Maybank pada tahun ini.

Pengguna Maybank mengalami beberapa insiden gangguan ketika melakukan transaksi menerusi laman web dan aplikasinya baru-baru ini, termasuk pada 26 Oktober dan 25 November lalu.