Menerusi kenyataan pada Sabtu, kumpulan perbankan itu memaklumkan, bantuan itu merangkumi penangguhan bayaran pembiayaan dan pinjaman, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik.
Pelanggan boleh memohon Bantuan Kewangan Banjir melalui dua saluran iaitu emel ke floodrelief@maybank.com dengan menyertakan beberapa butiran yang boleh disemak melalui pautan www.maybank2u.com.my.
Selain itu, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana cawangan Maybank atau berhubung dengan Pusat Perbankan Komersial atau Pusat Pembiayaan Auto di seluruh negara.
Bagi pelanggan PKS, mereka digalakkan untuk menghubungi pengurus perhubungan untuk sebarang bantuan.
Maybank turut menawarkan pengecualian yuran dan caj bagi perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit, kad ATM atau buku cek yang hilang atau rosak akibat banjir.
Sementara itu, cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa telah menyediakan proses tuntutan yang cepat dan mudah kepada pemegang polisi insurans dan sijil takafulnya tanpa memerlukan borang atau dokumen sokongan.