Dalam sektor perbankan khususnya, Maybank berada di tangga ke-74 pada peringkat global dan merupakan satu daripada dua jenama Malaysia yang tersenarai dan merupakan satu-satunya institusi kewangan yang menjadi sebahagian daripada senarai berprestij ini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli juga menyumbang kepada pencapaian terbaik bank itu dengan menduduki tangga ke-85 dalam senarai 100 Penjaga Jenama Terbaik Brand Finance.
Kejayaan itu menjadikan beliau satu-satunya CEO Malaysia yang menjadi sebahagian daripada senarai itu.
![Khairussaleh menyumbang kepada pencapaian terbaik bank itu dengan menduduki tangga ke-85 dalam senarai 100 Penjaga Jenama Terbaik Brand Finance.](https://img.astroawani.com/2025-02/71739221771_freesize.jpg)
Maybank mengaitkan kejayaan ini menerusi peningkatan dalam Indeks Kekuatan Jenama (BSI), berikutan cara jenama itu memberi kesan positif kepada tingkah laku pelanggan, yang seterusnya memberi kesan kepada prestasi perniagaan.
Kumpulan perbankan itu juga memperoleh lima anugerah daripada Global Finance bagi peringkat global, serantau dan negara sebagai inisiatif luar biasa dalam menangani kesan buruk perubahan iklim dan membina masa depan yang lebih mampan untuk kemanusiaan.
Maybank memenangi Anugerah Bank Terbaik untuk Pembiayaan Mampan dalam Pasaran Membangun (Global dan Asia Pasifik), Bank Terbaik untuk Ketelusan Mampan (Asia Pasifik), Bank Terbaik untuk Kewangan Mampan (Malaysia) dan Bank Terbaik untuk Kewangan Mampan (Indonesia).
Di samping itu, dari segi kewangan, bank itu turut dianugerahkan Bank Terbaik Pertukaran Mata Wang Asing (Malaysia).
Pencapaian kumpulan perbankan itu diumumkan pada Anugerah Kewangan Mampan Global Finance yang mengiktiraf institusi kewangan yang cemerlang dalam menyokong pelbagai rangkaian inisiatif penting untuk masa depan yang mampan, sambil menunjukkan kreativiti dalam menangani cabaran jangka panjang.
- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)