KUALA LUMPUR: Kumpulan Maybank mengumumkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 7.9 peratus kepada rekod RM10.09 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

Dalam satu kenyataan media, ia berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 9.3 peratus kepada RM13.70 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Susulan prestasi kewangan yang kukuh itu, Maybank telah mengisytiharkan dividen interim kedua tunai penuh 32 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen keseluruhan bagi tahun tersebut sebanyak 61 sen sesaham.

“Hasil kewangan ini didorong oleh pendapatan operasi yang kukuh hasil daripada aktiviti ekonomi serantau yang positif serta penambahbaikan berterusan dalam peruntukan penurunan nilai bersih,” menurutnya lagi.

Maybank berkata, prestasi tersebut dipimpin oleh peningkatan kukuh sebanyak 22.6 peratus dalam pendapatan bukan faedah (NOII) daripada yuran yang lebih tinggi daripada pengurusan kekayaan dan perbankan pelaburan, serta pendapatan daripada pasaran global dan insurans.

Selain itu ia berkata, pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 2.0% kepada RM19.69 bilion dengan pertumbuhan pinjaman sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun.

“Margin faedah bersih (NIM) berada pada 2.05 peratus akibat kos pembiayaan yang lebih tinggi dan persaingan deposit yang berterusan. Walau bagaimanapun, NIM meningkat sebanyak 3 mata asas pada suku keempat FY24 disebabkan oleh daya tarikan positif strategi deposit dan pembiayaan.

“Kos overhed berkembang pada kadar yang lebih perlahan kepada RM14.46 bilion atau 8.0 peratus disebabkan oleh kos kakitangan yang lebih tinggi, perbelanjaan IT dan perbelanjaan pemasaran.

“Akibatnya, keuntungan operasi sebelum peruntukan (PPOP) Kumpulan meningkat 8.2 peratus tahun ke tahun kepada RM15.11 bilion. Pulangan atas Ekuiti (ROE) meningkat kepada 11.1 peratus, meningkat secara berterusan daripada 10.8 peratus pada FY23,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dalam kenyataan yang sama berkata, Maybank secara konsisten kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidakpastian dengan mengutamakan amalan perniagaan dan pengurusan yang bertanggungjawab.

“Prestasi kewangan kami tahun ini menunjukkan kekuatan perniagaan teras kami dan kejayaan berterusan inisiatif strategik kami. Ia juga mencerminkan komitmen teguh kami terhadap pertumbuhan jangka panjang, inovasi, dan penciptaan nilai pemegang saham yang mampan.

“Kumpulan juga akan meningkatkan usaha untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi di pasaran yang kami beroperasi, berdasarkan misi kami untuk memanusiakan perkhidmatan kewangan,” katanya lagi.

Sehingga FY2024, Zamzamzairani berkata, melalui inisiatif impak sosial Maybank yang luas dan fokus, mereka telah menyentuh hampir 1.3 juta penduduk di seluruh ASEAN, melalui pembiayaan sosial dan inisiatif pemberdayaan sosial di luar perbankan

Inisiatif tersebut, jelas beliau lagi, termasuk menyokong segmen seperti Pelajar dan Belia, Wanita, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Komuniti Terpinggir, serta Alam Sekitar.

Selain itu beliau berkata, Maybank juga berbesar hati dengan pengiktirafan di pelbagai peringkat, terutamanya dengan kejayaan tersenarai semula dalam elit 500 jenama paling berharga di dunia oleh Brand Finance, serta mencatatkan pelbagai kemenangan dalam Kelestarian di Anugerah Kewangan Global.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, fokus teguh Maybank untuk memacu strategi M25+ telah menghasilkan prestasi perniagaan yang kukuh dan menyampaikan hasil yang mampan untuk rakyat, pelanggan dan komuniti.

“Kami terus melihat daya tarikan yang baik di seluruh perniagaan teras kami, secara kolektif mengukuhkan pertumbuhan pendapatan kami. Pada masa yang sama, kami menguruskan kualiti aset dan kos overhed kami dengan lebih baik.

“Ini telah dipertingkatkan lagi oleh usaha untuk memperdalam hubungan kami dengan pelanggan kami, mengukuhkan pendekatan segmental kami dan penembusan pelanggan merentasi produk dan sektor,” katanya lagi.

Khairussaleh berkata, dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Maybank sebagai institusi kewangan terkemuka di ASEAN, bersedia dan berada dalam kedudukan yang baik untuk menyampaikan nilai yang luar biasa kepada semua pelanggan dan pihak berkepentingan.