KUALA LUMPUR: Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat reput yang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting pada 28 Disember lalu sah milik remaja berusia 15 tahun Yap Xin Yuan yang hilang selepas menjalani latian tarian singa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengesahan itu dilakukan selepas padanan sampel DNA antara mayat remaja itu dengan ibunya didapati positif.

"Ya, DNA positif. Mayat dituntut di Hospital Banting oleh pihak keluarga hari ini (Khamis)," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, polis menahan tiga lelaki berusia 16, 20 dan 51 tahun termasuk teman lelaki mangsa.

Hussein berkata, reman ke atas suspek-suspek yang akan berakhir Ahad ini dijangka akan disambung sekiranya siasatan terhadap mereka masih perlu dilanjutkan.

Sabtu lalu mayat mangsa yang sudah reput dan tidak sempurna ditemukan di RTB Sungai Changgang, Banting, dekat sini.

Mangsa dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu selepas tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.

Kali terakhir dia dilihat di gelanggang bola keranjang di Batu 11, dengan berpakaian baju tarian singa berwarna merah.

Susulan itu polis mengklasifikasikan siasatan kes daripada orang hilang kepada siasatan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.