BAYAN LEPAS:
Mayat seorang pemuda yang lemas ketika bermandi-manda bersama rakan-rakannya di Pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar semalam berjaya ditemukan pagi Ahad.

Mayat S Thanaselan, 20, ditemukan nelayan dalam keadaan terapung kira-kira 600 meter dari kawasan pantai pada jam 9.25 pagi tadi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan penemuan mayat mangsa daripada Pangkalan Hadapan Carilamat yang ditubuhkan di Tanjung Manis, Gertak Sanggul.

BACA: Pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Tanjung Asam

Abd Razak berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat selepas pihak keluarga melakukan pengecaman.

Operasi tamat sepenuhnya jam 12.10 tengah hari tadi.

Pada Sabtu, Astro AWANI melaporkan  seorang pemuda dikhuatiri lemas sewaktu sedang bermandi-manda di pantai Tanjung Asam, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Mangsa  berusia 20 tahun itu dilaporkan hilang dipercayai dibawa arus kira-kira jam 2.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat digerak sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat.