Mayat seorang lelaki ditemui terbaring di dalam semak di belakang sebuah stesen minyak yang belum beroperasi di Lebuhraya Persekutuan arah ibu negara dekat sini, pada Isnin.

Mayat yang dipercayai warga asing itu ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang ramai yang lalu-lalang di sebuah jalan lain yang berhampiran selepas terhidu bau busuk kira-kira pukul 2 petang.

Jurucakap polis ketika ditemui di tempat kejadian berkata mayat yang lengkap berpakaian itu disyaki telah meninggal dunia kira-kira seminggu lepas berikutan keadaannya yang sudah menggelupas.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa namun tidak menolak kemungkinan mangsa mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan anggota keluarga diminta tampil atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam ditalian 03-55102220 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.