KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang memandu kereta di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Jalan Pantai Baharu, di sini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, pihaknya mengesan video berdurasi 30 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook, Mazli Alias dalam halaman Facebook DashCam Owners Malaysia jam 2.41 petang, pada Jumaat.

"Kenderaan yang terlibat adalah sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih telah menggunakan lorong motosikal.

"Bertindak di atas aduan tersebut, pemandu kenderaan itu telah dapat dikesan dan ditahan selepas lelaki berusia 30 tahun itu hadir ke Balai Polis Polis Trafik Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik ( JSPT ), Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.