ALOR GAJAH:Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakannya pada 14 September lalu.

A.S Sitambarasan, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dengan dua individu lagi yang masih bebas pada 14 September 2020 sehingga 17 September 2020 di hadapan sebuah bengkel di Pulau Sebang, Alor Gajah, bagi mencapai niat bersama telah melakukan bunuh ke atas mangsa, Sua Chun Chai berusia 31 tahun.

Oleh itu, tertuduh boleh disabitkan kesalahan, hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BACA: Padam api kereta, jumpa mayat dalam beg

Majistret Nurhasmanita kemudiannya menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. R Arthana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pada 17 September lalu, Astro AWANI melaporkan kejadian kebakaran sebuah kereta di Kawasan Perindustrian Ringan Kuala Ina, Pulau Sebang, yang membongkar penemuan sebuah beg hitam berisi mayat dalam kenderaan itu.

Beg berkenaan ditemukan oleh pasukan bomba yang sedang memadamkan api kebakaran kereta tersebut.