Menurut Ketua Koordinator Forum Kedaultan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad, jaminan itu dinyatakan Mohamad dalam pertemuan bagi menyerahkan memorandum FKMM pada Khamis.
"Komitmen menteri dia akan berhubung dgn lebih lanjut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tapi keputusan ini adalah Perdana Menteri dan Kabinet bukan MITI.
"Jadi Perdana Menteri perlu respons terhadap isu ini… beliau (Mohamad) akan bawa ke Kabinet," katanya ketika ditemui di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, di sini, hari ini.
Nurfitri bersama wakil daripada 54 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan pertemuan dengan Mohamad sekitar pukul 10.30 pagi ini.
Pertemuan hampir satu jam itu antara lain bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian berhubung kesan CPTPP terhadap petani, penternak dan nelayan di negara ini.
Sebelum itu, Nurfitri bersama wakil NGO menyerahkan memorandum terkandung enam tuntutan agar kerajaan meneliti semula ratifikasi CPTPP yang dikhuatiri membawa kesan kepada sektor pertanian.