Kesemua tuduhan yang dikenakan ke atas Datin Seri Rosmah Mansor masih belum dibuktikan ada kena mengena dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad, kata peguamnya Datuk K Kumaraendran.

Katanya lagi, ia berbeza dengan laporan media yang sebelum ini mengatakan kesemua pertuduhan ke atas isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada kaitan dengan syarikat itu.

Beliau berkata, kesemua 17 pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini langsung tidak menyebut 1MDB.


BACA: Rosmah kena 17 pertuduhan ubah wang dan gagal isytihar pendapatan

BACA: Doa Najib buat isterinya Rosmah

BACA: 'Terlalu sedih untuk menangis,' - anak Najib, Rosmah luahkan perasaan

Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, dakwaan bahawa Rosmah cuba mempengaruhi saksi pendakwaraya tidak berasas sama sekali.


Beliau merujuk kepada syarat kedua ikat jamin yang ditetapkan Ketua Pendakwaraya Datuk Seri Gopal Sri Ram, iaitu Rosmah tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi.

“Satu laporan polis dibuat mendakwa Datin Seri Rosmah ada berjumpa dengan saksi. Bagaimanapun laporan itu baru dikemukakan hari ini, tiada siasatan dijalankan, dan ia sama sekali tidak berasas,” katanya kepada sidang media.

Ujarnya lagi, perbicaraan ini merupakan peluang terbaik untuk Rosmah bersihkan namanya.