KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) telah menjalani latihan bersama di atas kapal USCG Cutter Munro di sekitar perairan Laut China Selatan bermula kelmarin hingga esok.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasannya, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid, berkata latihan julung kali itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek berkaitan penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut di rantau ini.

Katanya, lebih 30 pegawai dan anggota Maritim Malaysia terlibat dalam latihan selama empat hari itu.

"Menerusi program ini kita dapat belajar banyak dari aspek kesiapsiagaan dan operasi penguatkuasaan maritim yang mana USCG lebih berpengalaman berbanding kita yang baru beroperasi 18 tahun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi latihan di atas kapal USCG Munro di Pelabuhan Kuantan, di sini, hari ini.

Pada sesi itu juga, wakil media turut diberi peluang melihat kelengkapan yang berada di atas kapal yang berusia kira-kira enam tahun itu antaranya sebuah helikopter, tiga bot kecil dan bilik kawalan enjin.



MARITIM-LATIHAN 2 KUANTAN



Hadir sama Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, Manu Bhalla dan Pegawai Memerintah USCG Munro, Kapten Rula F. Deisher.

Antara latihan yang dilaksanakan ialah penggeledahan (interdiction) dan Damage Control Fire Fighting (DCFF), selain Maritim Malaysia dijemput untuk membuat lawatan di atas kapal USCG Munro bagi melihat sendiri keupayaan serta kelengkapan kapal tersebut.

Sementara itu, Aminuddin memaklumkan dua pegawai Maritim Malaysia telah berpeluang menyeratai on board training bersama USCG Munro bagi mendedahkan mereka terhadap ilmu kelautan dan navigasi yang lebih mendalam.

"Mereka akan belajar macam mana bekerja di sebuah kapal seperti ini, bagi saya pengalaman seumpama ini sukar diperolehi yang mana mereka (USCG Munro) setuju terima pegawai kita untuk belayar ke Thailand hingga Singapura," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya merancang untuk mengadakan latihan bersama antaranya dari aspek mencari dan menyelamat selain menghantar pegawai Maritim Malaysia berkursus di Amerika Syarikat.



MARITIM-LATIHAN 3 (AKHIR) KUANTAN



"Saya juga berhasrat untuk menjemput Kapten Deisher untuk berkongsi pengalaman sebagai pegawai memerintah kapal wanita bersama pegawai-pegawai muda terutamanya wanita dalam usaha melahirkan lebih ramai pegawai memerintah daripada golongan itu," katanya.

Sementara itu, Bhalla berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam keselamatan maritim di rantau ini kerana ia bertanggungjawab terhadap perairan di Selat Melaka, sebagai laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

"Lawatan oleh Munro hanyalah satu contoh perkongsian kukuh Amerika Syarikat-Malaysia mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang.

"Bersama-sama, kedua-dua negara kita bekerjasama dalam kesedaran domain maritim, latihan bersama, memerangi penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal, serta usaha penguatkuasaan undang-undang yang lain." katanya.

-- BERNAMA