KUALA LUMPUR: MARA komited mewujudkan ekosistem sokongan holistik meliputi pembangunan modal insan bagi usahawan tempatan dalam industri automotif.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, beberapa elemen penting lain dalam ekosistem tersebut ialah pembangunan bakat menerusi konsep keusahawanan dan pemberian bantuan yang adil dari segi sokongan fasiliti.

"Bahagian Pembangunan Usahawan MARA sebenarnya menawarkan pelbagai program bagi memperkasa graduan MARA merentasi institusi pendidikan berbeza yang mempunyai minat dalam bidang keusahawanan.

"Ini penting kerana bagi menguruskan perniagaan atau mengelola kewangan, latihan tertentu diperlukan.

"Meskipun perniagaan dalam negara berada dalam ekosistem yang saya sebutkan tadi, dengan lebih kurang 4,000 pemain dalam sektor automotif, tahun lepas sahaja mereka berjaya menyumbang sekitar RM6 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI).

"Usahawan Bumiputera dalam industri ini juga telah membuka lebih daripada 25,000 peluang pekerjaan.

"Ini merupakan pencapaian yang signifikan, kerana walaupun sumbangan ini datang hanya dari ekosistem MARA, impaknya dapat dilihat pada GNI negara," ujarnya dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.

Dalam pada itu, MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2024 buat julung kalinya diadakan pada 20 hingga 22 September 2024 bertempat di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, MATEC 2024 merupakan showcase automotif untuk mempromosi dan membuka peluang perniagaan, termasuk dalam bidang berkaitan sebagai salah satu platform penyampaian maklumat kepada orang awam khususnya usahawan Bumiputera.

Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran MoU antara Bateriku (M) Sdn Bhd bersama GGR Motor M Sdn Bhd, dan SKS Coachbuilders Sdn Bhd (SKS) bersama MARA.

MoU menunjukkan kerjasama strategik pemasaran bateri motosikal keluaran Bateriku di bawah jenama GGR Motor M Sdn Bhd untuk pasaran motosikal Malaysia.

Penganjuran MATEC 2024 adalah sejajar dengan Dasar Automotif Negara (NAP2020) bagi membawa usahawan automotif Bumiputera menjadi pemain utama industri tempatan dan seterusnya ke peringkat global di masa akan datang

Sepanjang MATEC 2024 berlangsung, pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi tarikan para pengunjung, antaranya himpunan kereta dan motosikal, konsert, pertandingan e-game dan push bike, cabutan bertuah, pocket talk, sesi perkongsian, meet and greet, dan persembahan produk.

Seramai 30,000 pengunjung dijangka hadir ke MATEC 2024 sepanjang tiga hari acara tersebut.

Untuk rekod bermula dari tahun 2021 hingga kini di bawah RMK12, MARA telah membelanjakan hampir RM100 juta yang memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan bidang automotif melalui pelbagai program merangkumi latihan, persijilan dan pembiayaan.