Empat mangsa yang ditempatkan di Hospital Putrajaya akibat terlibat dengan kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal pagi tadi kini berada dalam keadaan stabil.

Mangsa yang terlibat termasuk pemain nombor satu dunia Kento Momota, serta tiga pegawai sukan dari Persatuan Badminton Jepun (Japan BA) dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Hirayama Yu, Morimoto Arkifuki dan William Thomas.

Keempat-empat mangsa itu kini masih menanti untuk menjalani pemeriksaan imbasan CT (Computed Tomography) dan rawatan lain di hospital tersebut.

Ia susulan daripada kemalangan yang membabitkan sebuah van dan lori pada kira-kira jam 4.40 pagi tadi.

Menurut Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr. Nora’i Mohd Said, empat mangsa yang terlibat ditempatkan di wad hospital berkenaan bagi tujuan rawatan lanjut akibat kemalangan berimpak tinggi itu.

“Sebab kemalangan berimpak tinggi, jadi mereka mengalami sakit belakang. Kita sudah proses untuk membuat CT scan investigation lain sebelum mengesahkan diagnosis sebenar.

"Kini mereka stabil. Mereka telah dihantar ke wad di hospital Putrajaya dan kami sedang menunggu, ada yang nak buat dressing, nak buat jahitan sikit di operating theatre. Maka, semua stabil,” katanya.


Dalam kemalangan terbabit, pemandu van tersebut Bavan a/l Nageswarau meninggal dunia di tempat kejadian.

Kesemua mereka sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).