Sebanyak 136 peniaga di Uptown Shah Alam yang terjejas akibat kebakaran awal pagi tadi boleh menarik nafas lega apabila pelbagai pihak berjanji menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata pihaknya melalui Tabung Ekonomi Usaha Niaga Nasional (Tekun) akan memberi pinjaman segera RM10,000 bagi setiap peniaga untuk kembali berniaga dalam masa terdekat.

"Selain pinjaman, kami juga akan menyalurkan bantuan berupa khemah-khemah kecil untuk mereka gunakan apabila berniaga di tapak baharu kelak," katanya yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor kepada pemberita ketika melawat kawasan kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengumumkan pemberian RM500 bagi setiap peniaga yang terjejas dalam kejadian itu hasil sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

"Selain sumbangan wang, kerajaan negeri melalui Skim Mikro Kredit Miskin Bandar (Mimbar) akan menyalurkan pinjaman tanpa faedah berjumlah RM5,000 kepada setiap peniaga," katanya kepada pemberita.

Mohamed Azmin berkata beliau telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk menurap kawasan lapang yang digunakan sebagai tempat letak kereta di sebelah tempat berkenaan untuk digunakan sebagai tempat berniaga sementara.

Sebanyak 196 gerai milik peniaga Uptown Seksyen 24 di sini musnah dalam kebakaran pukul 3 pagi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Amer Haizal Sahar berkata siasatan awal mendapati punca kebakaran disebabkan litar pintas daripada sebuah gerai dalam bazar berkenaan.

Katanya, jumlah kerugian dianggarkan RM19 juta.