ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan peningkatan dengan angka terkini mencecah 2,194 mangsa daripada 388 keluarga setakat jam 8 pagi.

Kesemua mangsa terbabit ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini, menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding 2,039 orang daripada 341 keluarga yang dilaporkan jam 11 malam tadi.

Katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, keadaan hujan yang berlarutan sehingga pagi ini mungkin menyaksikan pertambahan jumlah mangsa pada tengah hari.

Beliau turut menasihati penduduk supaya segera berpindah sekiranya diminta berbuat demikian kerana keadaan air naik dengan pantas pada banjir kali ini bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.