KUBANG PASU: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan berikutan tiga kampung di Mukim Malau di sini dilanda banjir kilat, selepas hujan tanpa henti malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau itu menempatkan 53 mangsa daripada 15 keluarga dari tiga kampung terjejas.

“Kampung berkenaan adalah Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh. Air mula naik sejak malam tadi sebelum PPS itu dibuka 9.16 malam.

“Anggota APM Kubang Pasu masih di lapangan ketika ini masih membuat pemantauan dan memindahkan mangsa lagi.

"Selain itu, anggota kami turut menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya berpindah ke tempat yang selamat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, hujan lebat berterusan mengakibatkan tiga sungai di negeri ini direkodkan melepasi paras bahaya.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu mencatatkan 22.15 meter melepasi paras bahaya 21.6 meter.

Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap merekodkan 28.68 meter melepasi paras bahaya 28.5 meter manakala Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan mencatatkan 3.95 meter melebihi paras bahaya 3.5 meter.